Beberapa hari lepas tular di media sosial apabila akhbar melaporkan terdapat sindiket daging seludup haram yang dibawa ke Malaysia.
Lebih malang lagi apabila daging-daging tersebut diberi tanda halal untuk diniagakan.
Difahamkan terdapat anggota kerajaan yang menerima rasuah serta menjadi tali barut kepada kumpulan ini dengan memberi pelepasan untuk daging sejuk beku ini diniagakan di pasaran dengan cop halal palsu.
Antara yang ditawarkan adalah rasuah sekitar RM150 hingga RM3,000 bagi mengaburi mata pihak yang bertugas dan memastikan proses berjalan dengan baik.
Menerusi laporan daripada NST, sindiket ini bukanlah perkara baru di Malaysia tetapi sudah bertapak di negara kita selama 40 tahun.
Malah, dari segi pemilihan daging, difahamkan sindiket ini berjaya mengurangkan kos dengan menawarkan daging lembu yang sakit, daging kuda dan juga daging kanggaru yang dicampur bersama daging lembu.
Kartel daging ini dilaporkan berjaya menawarkan daging seludup sebanyak 300-400 kontena sebulan di mana satu kontena membawa 25 tan daging sejuk beku.
Berdasarkan laporan, daging-daging ini diperoleh daripada negara Canada, Colombia, Ukraine, Uruguay, Spain, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan juga China.
Dalam pada itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa pihak berkuasa segera menyiasat secara menyeluruh isu menangani isu penyeludupan daging itu yang didakwa dikuasai kartel, bagi menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, turut menzahirkan kebimbangan akan berlaku kempen boikot secara besar-besaran terhadap produk daging import ke negara ini, jika isu itu tidak ditangani secara menyeluruh.