Connect with us

Viral

8 Bulan Berguru Dengan Youtube, Wanita OKU Akhirnya Dapat Jual Donut Demi Bantu Keluarga

Kos sara hidup pada masa kini sememangnya tinggi menyebabkan ramai yang berpusu mencari pekerjaan yang baik buat menyara diri dan keluarga termasuklah individu yang kelainan upaya (OKU).

Namun, tidak semua majikan akan menerima individu OKU untuk bekerja atas sebab-sebab tertentu menyebabkan mereka perlu ikhtiar cara lain untuk meneruskan kehidupan.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini, seorang wanita Orang Kurang Upaya gigih mendalami ilmu cara membuat donut di YouTube mencuri perhatian ramai.

Dia yang dikenali sebagai Zaitun Ibrahim, 35, menghabiskan masa hampir lebih lapan bulan di platform YouTube bagi memastikan adunan kuih donut yang dihasilkan itu gebu dan lembut.

Zaitun juga menjaja donut tersebut di kawasan rekreasi Padang Poli Ipoh Perak seawal 5 petang dan kini telah meraih kira-kira RM100 sehari.


Donut yang dijual mempunyai pelbagai perisa seperti strawberi, coklat dan pisang serta menjualnya dengan harga RM5 bagi setiap set 3 biji donut.

Zaitun akui yuran kelas memasak pada zaman kini agak tinggi dan disebabkan itu dia menghabiskan masanya dengan memanfaatkan platform youtube sebagai ‘guru’ dan panduan untuk membuat donut.

Difahamkan, zaitun kudung kedua-dua belah kaki dan tangan kiri sejak lahir akibat demam panas.

“Wang yang ada cukup-cukup makan sahaja bagi saya, suami dan anak perempuan berusia 17 tahun untuk meneruskan hidup. Dan disebabkan itu, saya hanya rujuk YouTube untuk belajar memasak.”

“Bersandarkan rakaman video yang ada di YouTube, saya memperbaiki resepi sedia ada. Ini agar saya dapat menjaga kualiti jualan saya.”

“Dan, saya dapat membantu keluarga dengan menjual donut,” katanya

“Saya dilahirkan di rumah oleh bidan tanpa ada kelengkapan bersalin yang mencukupi. Diuji pula dengan masalah keluarga ketika itu apabila bapa meninggalkannya anak-beranak,” tambahnya.

“Disebabkan itu, saya tidak layak untuk memohon sebarang bantuan atau insentif OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

“Dan lebih menyedihkan, saya tidak boleh menerima rawatan di hospital kerajaan. Saya terpaksa bergantung kepada kedai ubat kerana tidak mampu ke klinik swasta,” katanya sebak.

Selain menjual donut, wanita ini juga mengusahakan pelbagai perniagaan antaranya kraftangan anyaman bakul, gubahan bunga dan kuih-muih.

Pun begitu, dia turut berasa sedih kerana tidak dapat melebarkan sayap perniagaan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan.

Zaitun berharap satu hari nanti ada pihak berkaitan dalam kerajaan dapat membantunya bagi mendapatkan kad pengenalan diri agar masa dengan dia dan keluarganya, lebih terbela.

Continue Reading
Advertisement