Berita gembira buat pelakon popular, Izzue Islam dan pasangannya apabila raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ingin membantu Izzue dan isteri untuk mendapatkan zuriat.
Izzue berkata dia menerima tawaran untuk rawatan IVF itu ketika bertemu dengan Tunku Azizah di belakang pentas selepas habis pementasan teater Mak Yong pada Oktober lalu, lapor mStar.
Izzue sangat terkejut dan terharu dengan tawaran oleh Tunku Azizah sendiri.
“Saya memang terkejut dan terharu sangat apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan nak bantu saya dan isteri untuk dapatkan zuriat.”
Menurutnya, dia dan baginda Raja Permaisuri Agong bertemu di belakang pentas sejurus habis pementasan teater Mak Yong.
“Kami bertemu di belakang pentas selepas saya habis pementasan teater Mak Yong. Waktu itu, memang tak cakap banyak sebab segan tak tahu nak borak apa.”
Tambahnya lagi, Tunku Azizah mengikuti perkembangan dirinya dan isteri.
“Permaisuri ada bertanya mengenai kehidupan saya sebab baginda mengikuti perkembangan saya. Baginda ada kata kalau perlukan pertolongan, beritahu saja.”
Walaubagaimanapun Izzue memberitahu dia masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan baginda Tunku Azizah disebabkan jadual kerja yang padat.
“Sehingga kini, saya belum lagi bertemu dengan baginda untuk peringkat seterusnya. Sebab tak ada masa yang sesuai memandangkan saya tengah sibuk penggambaran sebuah drama.”
Menurutnya, dia akan menghadap baginda Raja Permaisuri Agong sekitar awal tahun hadapan apabila habis tugas penggambaran.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin habis saja penggambaran ini dalam sekitar awal tahun hadapan saya akan berjumpa dengan baginda,” ujarnya.
Izzue Islam dan isterinya, Awin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin berkahwin pada 2 Jun 2013.
Namun sehingga kini pasangan bahagia ini masih belum dikurniakan cahaya mata.
Bagi yang tidak tahu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah mengasaskan satu yayasan kesuburan yang dinamakan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.
Yayasan ini ditubuhkan untuk membantu dan menaja pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.
Pingback: Izzue Dan Isteri Terkejut Bila Tunku Azizah Tawarkan Rawatan IVF. Ini Komen Izzue Islam -