Pelakon cantik Tasha Shilla dan pasangannya, Muhammad Atiq Idris sah menjadi suami isteri sebentar tadi setelah 5 hari mengikat tali pertunangan pada 23 Februari lepas.
Memilih tarikh 28 Februari 2020, Tasha dan Atiq selamat diijab kabulkan dengan menerima mas kahwin sebanyak RM800 dan dinikahkan sendiri oleh bapa pelakon tersebut.
Tasha Shilla tenyata ayu berbaju serba putih dan manis berhijab.
Suasana pernikahan yang berlangsung di Dewan Utama, Masjid Wilayah Persekutuan berjalan lancar ini tenang dengan kehadiran ahli keluarga masing-masing.
Namun apa yang menarik perhatian netizen adalah apabila Tasha Shila tersipu-sipu malu dengan suaminya.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook Astro Gempak, Tasha dilihat malu-malu apabila suaminya mahu mencium dahinya.
Rata-rata netizen teruja dengan majlis pernikahan mereka dan terhibur dengan gelagat Tasha yang tampak bahagia.
Video Tasha Shilla tersipu malu dengan suami
Terdahulu, Tasha dan Atiq telah selamat bertunang pada 23 Februari lepas di sebuah lokasi di Empire Damansara secara tertutup dengan kehadiran saudara mara terdekat sahaja.
Pasangan sebaya berusia 33 tahun itu diperkenalkan seorang teman dan dijangka melangsungkan majlis perkahwinan pada akhir bulan ini.
“Perkenalan bermula di sebuah acara amal di Masjid Wilayah. Tanpa diduga berputik rasa sayang dan cinta.
“Tak sangka segala perancangan dipermudahkan. Saya tidak menjangkakan majlis pertunangan akan berlangsung semeriah ini.
“Saya percaya inilah jodoh yang diaturkan Yang Maha Esa,” katanya kepada BH Online.
Tasha atau nama sebenarnya, Nastashasheila Abdul Razak berkata, dia rasa tenang dan bahagia ketika berada di sisi Atiq.
Pada majlis pertunangan itu, Atiq menyerahkan cincin, tepak sirih dan beberapa hadiah lain kepada tunangannya itu. Sebelum ini, Atiq menghantar rombongan merisik pada 1 Februari lalu.
Semoga ikatan yang terbina ini akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat. Sekali lagi kami ucapkan selamat pengantin baru buat Tasha Shilla dan suami.