Bermula dengan sekadar ura-ura, nampaknya kerjasama diantara dua syarikat pesaing ini berjaya menjadi kenyataan pada hari ini apabila Uber Technologies Inc. mengumumkan penjualan bisnes mereka meliputi Asia Tenggara kepada Grab.
Berdasarkan perjanjian yang dibuat, Uber akan memegang saham sekitar 25 ke 30 peratus manakala selebihnya dipegang oleh Grab. Kerjasama ini juga bertepatan dengan strategi CEO terbaru Uber iaitu Dara Khosrowshahi yang lebih berminat untuk memfokuskan untuk pasaran Jepun dan India.
Untuk pengetahuan anda, ini bukanlah pertama kali Uber telah menjual saham mereka kepada syarikat pesaing. Sebelum ini, Uber China telahpun menjual majoriti saham mereka kepada Didi Chuxing selepas gagal untuk beroperasi di beberapa tempat di China. Perkara yang sama turut terjadi di Russia dimana Uber telah menjual operasi syarikat mereka kepada Yandex.
Setakat ini masih belum terdapat sebarang pengumuman lanjut mengenai bagaimana dengan nasib pemandu Uber serta syarikat selepas menjadi syarikat dibawah kendalian Grab. Pengumuman rasmi pembelian syarikat ini bakal diumumkan seawal pagi esok.
Walaubagaimanapun, tahniah kami ucapkan buat syarikat Grab. Anda berjaya membuktikan syarikat Asia Tenggara juga mampu bersaing bersama syarikat global. Lebih membanggakan Grab atau dulunya dikenali dengan nama MyTeksi baru sahaja melangkah ke tahun keenam operasi pada tahun ini. Syabas Grab!