Di China, terdapat satu scam ataupun penipuan yang popular iaitu pemalsuan kemalangan untuk tuntutan insurans. Scam ini biasanya melibatkan penipu berlari ke arah kereta di jalan raya dan berpura-pura tercedera untuk mendapatkan wang insurans.
Terbaru, seorang wanita yang cuba mendapatkan wang melalui cara mudah ini dengan berlakon dirinya dilanggar kereta menerima padah apabila dia benar-benar dilanggar kereta ketika cuba melakukan aksi lagak ngeri itu, lapor Daily Mail.
Satu video rakaman trafik menunjukkan suspek bersembunyi di tepi jalan dan menyasarkan sebuah kereta sedan berwarna putih dalam kejadian Ahad lalu dibandar Lincang, daerah Linxiang, Yunnan selatan barat China.
Suspek terus keluar dan berpura-pura jatuh di depan kereta sebaik saja kereta itu datang menghampiri. Walaubagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila kepalanya dilanggar kereta berkenaan yang tidak sempat mengelaknya.
Aktiviti penipuan seperti ini biasa berlaku di negara China untuk mendapatkan wang pampasan dengan mudah.
Golongan scammer ini akan muncul secara tiba-tiba dari tepi jalan dan berpura-pura terjatuh di tengah jalan dengan harapan pemandu kereta akan menekan brek bagi mengelak terlanggar suspek.
Suspek kemudian yang tidak mengalami sebarang kecederaan akan mendakwa dirinya cedera dan menuntut wang pampasan bagi menanggung kos kecederaan dan perubatan.
Malang bagi wanita ini, dia mengalami kecederaan serius di bahagian kepalanya.
Menurut sumber, pihak polis kini sedang menyiasat kejadian itu dan jika suspek didapati bersalah, tiada sebarang pampasan yang akan diberikan kepadanya dan mungkin akan dikenakan hukuman berat.