Beberapa hari lepas, tular di media sosial kehilangan seorang lelaki yang dikenali sebagai Amirul ketika menghantar telefon bimbit kepada pembeli.
Walau bagaimanapun, hari ini Amirul ditemui selamat di sebuah rumah di Melaka oleh pasukan polis.
“Sepanjang lima hari dikurung di dalam sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka, saya hanya beberapa kali sahaja makan nasi dan biskut malah kadangkala tidak diberi makan,” kata Muhammad Amirul Shafiq, 25.
Muhammad Amirul berkata, dia tidak menyangka lelaki yang mendakwa ingin membeli telefon bimbit dijualnya itu akan membawa lari dan memerangkapnya.
Menurutnya, dia pada mulanya bertemu dengan lelaki terbabit untuk membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih RM17,000 di premis perniagaan di Sungai Besi, 7.30 malam Sabtu lalu.
“Saya ketika itu tunggu hampir sejam kerana lelaki itu memberi alasan ingin mengeluarkan wang terlebih dahulu.
“Sebaik dia tiba, lelaki itu meminta saya mengikut dia masuk ke dalam keretanya di parkir di bawah banggunan itu kononnya tidak mahu orang nampak ketika mengira wang yang dibawanya itu,” katanya kepada media hari ini.
Katanya, namun ketika berada di dalam kereta itu bersama dua lagi lelaki lain, pembeli itu terus menyembur ubat nyamuk ke mata dan menumbuk sebelum mengikat tangan dan mulut dengan pita pelekat.
“Saya cuba menjerit meminta pertolongan ketika itu namun tiada sesiapa yang menyedari sebelum mereka terus bergerak ke sebuah farmasi di sekitar Sungai Besi.
“Saya kemudian diberi 10 biji ubat dan dipaksa makan menyebabkan mula dalam keadaan separuh sedar,” katanya.
Menurut Muhammad Amirul, dia kemudian terus dibawa ke rumah di Ayer Keroh, Melaka dan dikurung di dalam rumah itu bersama lelaki lain dipercayai rakan mereka.
“Pembeli terbabit bersama dua lagi lelaki kemudian meninggalkan saya bersama rakan mereka di rumah itu pada Ahad lalu.
“Malah rakannya yang mengawal saya itu turut menyamar kononnya dia adalah anggota polis dan menahan saya kerana melakukan kesalahan,” katanya.
Tambahnya, dia turut bermimpi dirinya diselamatkan polis dan akhirnya menjadi kenyataan apabila dibebaskan selepas polis menyerbu rumah itu malam tadi.
Sementara itu, bapanya, Sudirman Daek, 50, menerima berita anaknya diselamatkan sekitar 12.30 tengah malam tadi.
“Saya bersyukur anak selamat dan berterima kasih kepada pihak polis yang mengesan dan menyelamatkan anak.
“Difahamkan mereka yang melakukan perbuatan itu ke atas anak saya sudah ditahan polis dan tidak lupa juga saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan berita kehilangan anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan mangsa sudah diselamatkan dan akan memberi kenyataan media berhubung kejayaan itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang bapa buntu memikirkan nasib anak lelakinya selepas gagal dalam usaha menjejaki lelaki itu sejak dilaporkan hilang di Sungai Besi di sini, pada Sabtu lalu.
Sudirman berkata kali terakhir Muhammad Amirul yang juga peniaga telefon bimbit membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih 17,000 kepada seorang pembeli di sebuah premis perniagaan di Sungai Besi, pada 7.30 malam.
Berikutan kehilangan anaknya itu, Sudirman berkata, dia sudah membuat laporan polis pada awal pagi Ahad lalu selepas pelbagai usaha mencari Muhammaad Amirul tidak berhasil.
Dalam pada itu, adik kepada Muhammad Amirul iaitu Amira turut meluahkan perasaannya selepas usaha mencari abangnya sejak lima hari lalu menemui jalan buntu.
Amira di laman sosial Instagramnya berkata, abangnya itu berkelakuan pelik beberapa hari sebelum kehilangannya.
“2 hari before kau hilang , kau pelik sangat sebab tiba2 je kau nak belanja kiteorang makan sbb kau busy xde masa.
“Tapi tiba2 kau belanja makan, kau bungkuskan makanan favourite mama mee celup. And then esoknya kau bagi duit untuk belikan mama mcdonals . Ya allah yu kau mcm tahu2 je benda ni nak jadi.”
Malah beberapa hari lepas, ibu Amirul, Anna Rohana menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknyanya berharap agar anak sulungnya itu pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Anna berkata, pencarian Muhammad Amirul atau lebih mesra dipanggil Abang Yu itu masih giat dijalankan oleh seluruh ahli keluarga.
“Mama tunggu Abang Yu balik sayang…Mama tau abang Yu kuat. bertahan sikit saja lagi. Saudara-saudara kita sedang mencari Abang Yu.
“Setiap minit dan jam mama sentiasa mendoakan keselamatan abang Yu. Semoga Allah sentiasa melindungi abang Yu.
“Sabar ya sayang, keperitan yang sedang abang Yu tempuhi adalah keperitan mama juga. Sakit abang Yu sakit mama juga.
“Kerana kau adalah darah dagingku, kau sebahagiaan dari diriku…Ya Allah lindungilah anakku, kembalikanlah dia kepangkuan ku dengan selamat,” tulisnya.