[VIDEO] Dulu Terkucil di MeleTOP, Nabila Razali Terkucil Lagi Ketika Live AJL35
Setelah beberapa lama tertangguh, akhirnya Anugerah Juara Lagu 35 telah melabuhkan tirainya semalam dengan menobatkan lagu Gila nyanyian Noki, Loca B dan Kaka Azraff sebagai juara.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah berusaha sehabis baik untuk menghiburkan para penonton.
Namun, persembahan Nabila Razali yang mendendangkan lagu Peluang Kedua telah mendapat perhatian netizen apabila beliau 2 kali ‘terkucil’ ketika menyanyi.
Menerusi laporan media, Nabila mengatakan banyak ruang yang masih boleh diperbaiki dan beliau telah memberikan persembahan terbaik kepada penonton walaupun tidak berlaku seperti yang diharapkannya.
Menurutnya, beliau juga tidak sangka mampu memberikan persembahan seperti itu disebabkan masalah suara yang dialaminya masih belum sembuh sepenuhnya.
Malah, kekuatan Nabila untuk melakukan persembahan di pentas AJL35 ini walau terpalit pelbagai kontroversi adalah kerana beliau mahu menjadi yang terbaik untuk diri sendiri.
Mendapat perhatian netizen, rakan-rakan artis seperti Neelofa dan Mira Filzah turut menzahirkan rasa bangga dengan diri Nabila yang tampil dengan persembahan terbaik.
Bahkan, mereka turut memberikan kata-kata semangat kepada Nabila dan mengatakan Nabila sudah melakukan yang terbaik.
Terdahulu, penyanyi Nabila Razali menerima kecaman hebat daripada netizen apabila terkucil ketika membuat persembahan secara langsung menyanyikan lagu Peluang Kedua pada program MeleTOP.
Selepas seminggu menyepikan diri, penyanyi tersebut akhirnya tampil memuat naik video bagi menjelaskan insiden berkenaan.
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Bella, perasaan terlalu gugup dan kurang latihan menjadi punca utama persembahannya malam itu tidak seperti dijangka.
“Apa yang berlaku minggu lepas Bella buat video ni bukan sebab nak tegakkan benang yang basah, seperti korang tengok persembahan saya sangat memalukan dan sangat kesal dengan apa yang berlaku.
“Selepas nilai balik video tu, Bella perasan lack of warm up, tak jaga makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lama tak perform.
“Jujur Bella cakap malam itu paling gementar buat Bella sebab tahu jangkaan orang tinggi dan semua orang nak dengar yang terbaik,” katanya.
Nabila berkongsi luahan hatinya itu menerusi rakaman video di laman Youtube pada Rabu.
Sedutan rakaman nyanyian secara langsung yang terkucil itu ketika di program tersebut menjadi tular dan mengundang kritikan serta kecaman daripada netizen di laman sosial.
Rata-rata netizen mempertikaikan kemampuan nyanyian pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi tersebut memandangkan kejadian itu bukan kali pertama berlaku.
Sementara itu, Nabila mengakui sebagai anak seni, dia juga adalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.
“Kami anak seni sama macam anda, kita manusia biasa tak boleh lari dari buat kesilapan, cuma kesilapan kami ditonton oleh jutaan orang, Bella sedar tentang itu masa nak jadi anak seni dulu… jadi janganlah nak judge je.
“Syukur ramai mesej tanya keadaan, mereka sangat prihatin… ada yang muncul depan pintu rumah untuk tenangkan saya, saya hargai semua itu, baru saya sedar siapa kawan kita sebenar.
“Ini adalah realiti kalau di atas dipuji dan di bawah dikeji… cuma komen yang diterima di sosial media sangat kejam dan kasar, kalau nak komen, komenlah secara berhemah,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas peserta program Akademi Fantasia 2013 (AF2013) itu turut menerima sebarang komen yang ditinggalkan netizen dengan hati terbuka.
“Bella nak ucapkan terima kasih kepada semua yang bagi pendapat atas insiden ni positif atau negatif serta menerima dengan hati terbuka dan menjadikan iktibar masa datang.
“Saya tak salahkan sesiapa kecuali diri sendiri dan ada ruang untuk perbaiki diri,” katanya.