Sudah menjadi lumrah manusia di dunia ini pastinya ingin mempunyai pasangan untuk mencintai dan menjaganya hingga ke akhir hayat.
Namun sebaik mana kita merancang, jodoh pertemuan semua di tangan Allah S.W.T.
Jika ada rezeki kita akan bersama pasangan hingga ke akhir hayat. Namun kadang-kadang jodoh kita sampai awal dan ada juga yang jodohnya sampai lambat.
Seperti satu kisah yang tular di media sosial di mana seorang wanita, 36 tahun mengenali suaminya, 25 tahun ketika suaminya berada di tingkatan 3 lagi dan semasa itu dia merupakan seorang guru.
Walau bagaimanapun, pada ketika itu hubungan mereka hanya lah sekadar guru dan juga anak murid.
Menerusi laporan mStar, wanita berusia 36 tahun itu berkata, dia mula mengenali suaminya ketika bertugas di sebuah sekolah menengah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 2010.
“Ketika itu suami sekadar pelajar di salah sebuah kelas di tempat saya mengajar. Saya bukan guru kelas dia pun, tapi pernah menjadi guru ganti di kelasnya beberapa kali.
“Masa tu dia baru berusia 15 tahun, masih muda remaja lagi. Saya tidak mengenalinya begitu rapat dan hanya menganggap dia sebagai salah seorang pelajar di sekolah,” katanya kepada mStar, sambil menambah dia dikenali sebagai Cikgu Erma di sekolah.
Lebih mesra disapa Izza, katanya, dia kemudian bertugas ke sekolah lain di Pulau Pinang dan mendirikan rumah tangga, namun hanya bertahan sehingga 2018 sebelum membuat keputusan untuk berpisah.
“Tahun berikutnya pada 2019 saya menerima DM (mesej secara langsung) daripada dia (kini suami) di Facebook, dan pada mulanya dia masih memanggil saya ‘cikgu’.
“Dia pelawa saya untuk menjadi model fotografi bagi satu majlis permotoran. Pada mulanya, saya terkejut juga sebab dia masih kenal saya dan hubungan kami bermula dari majlis tersebut,” ujarnya yang berhenti kerja sebagai guru pada 2016.
Sementara itu, bekas pelajar Izza yang kini adalah suaminya, Mohamad Ammar Mohamad Izham, 25, mendedahkan dia sebenarnya menaruh hati kepada guru ganti itu pada 2010.
“Saya crush dengan cikgu (kini isteri) sebab tertarik dengan personaliti dan cara pembawakan diri dia. Tapi sekadar crush sahaja sebab hubungan kami sekadar pelajar dan guru, tidak lebih daripada itu.
“Tapi saya tak tahu pun cikgu dah berpindah untuk bertugas ke sekolah lain, tiba-tiba hilang macam tu je. Tercari-cari juga tapi move on je lah,” ujarnya yang berasal dari Bayan Baru.
Ammar berkata, dia bagaimanapun tergerak hati untuk mencari guru ganti itu setelah bertahun-tahun sebelum menjumpai akaun Facebook guru tersebut dan menghubunginya.
“Pelik juga sebab saya tengok tak ada pun gambar dengan suami di Facebook tapi saya tidak bertanya lanjut kerana menganggapnya sebagai perkara peribadi.
“Selepas tiga bulan kami berhubung semula sejak majlis permotoran tu, barulah saya mendapat tahu yang dia telah berpisah,” katanya yang kini mengusahakan sebuah perniagaan.
“Saya berterus terang tentang perasaan saya. Saya tak nak lagi dia hilang buat kali kedua dan saya terlepas peluang.”
Menyedari status ibu tunggal guru ganti itu, Ammar memasang strategi untuk mengenali lebih rapat sebelum menjalinkan hubungan yang lebih serius.
“Saya berterus terang tentang perasaan saya. Cukuplah dulu dia ‘hilang’ sekali. Saya tak nak lagi dia hilang buat kali kedua dan saya terlepas peluang,” ujarnya.
Walaupun jarak usia 11 tahun, namun ia bukan penghalang bagi kedua-dua bekas guru dan bekas pelajar ini untuk mengecapi kebahagiaan bersama sebagai suami isteri.
Izza Erma yang merupakan model juga telah memuat naik videonya bersama suami tersayang.
Namun apabila orang bertanya umur pasangan ini berapa, dia tidak kisah untuk menjawab soalan seperti itu dan dia mengatakan yang paling penting suaminya kelihatan matang.
“This year ckup 1 year kenal ammar ni. Sapa sangka blh kawen and amik ex student jadi suami. Tp tu lah jodoh kan.”
Kisahnya menjadi perbualan hangat netizen kerana jarak umur mereka yang hampir 11 tahun dan suaminya merupakan anak murid kepada isterinya semasa di sekolah dulu.
Siapa sangka dulu hanya mengajar anak murid tetapi apabila bila sudah besar, dia menjadi jodoh wanita tersebut.