[VIDEO] “Saya tak nak masuk neraka,” Nabil Ahmad Kongsi Penghijrahan Belajar Ilmu Agama
Pengacara popular, Nabil Ahmad dan Neelofa baru-baru ini berkongsi mengenai kisah penghijrahan mereka bersama pihak InTrend dan mendapat perhatian serta memberi inspirasi kepada orang ramai.
Nabil berkongsi mengenai detik permulaan hatinya ingin mendalami ilmu agama apabila dia mengenali rakan-rakan daripada gerakan tablighnya itu.
Dia juga merasakan bahawa perkenalan mereka merupakan satu kebaikan yang ikhlas kerana Allah dan hatinya terus terbuka untuk berubah sedikit demi sedikit.
Dalam perkongsian tersebut, Neelofa juga berpesan agar kita tidak melambatkan niat kita untuk mempelajari ilmu agama atau hanya semata menunggu hidayah untuk datang kepada kita.
Melihat perjalanan hidup Nabil, Neelofa berasa sangat bangga dan senang hati kerana rakan sepejuangnya kini sama-sama menyebarkan dakwah.
Bagaimana Lofa melihat penghijrahan Nabil dan Nabil kepada penghijrahan Lofa?
Neelofa: Sejujurnya bila saya tengok Nabil ikut jemaah Tabligh, saya bangga sebabnya saya ada seorang lagi rakan selebriti yang mempunyai pengaruh yang besar untuk memberi inspirasi dan juga sebarkan dakwah kepada ramai orang di luar sana.
Kalau kita tengok sebelum ni, penghijrahan artis-artis lain mungkin tersendiri. Dan saya pun tak terkecuali. Rasa macam seorang diri, tak cukup lagi, tak kuat lagi. Tak ada geng lah bak kata orang.
Tapi bila saya ada rakan selebriti turut sama dalam landasan yang sama, saya rasa ‘sayap’ kita dah semakin membesar. Dan kita dapat buat pula program macam ni, kita ada sokongan yang cukup. Saluran Ria pula kita dapat sebagai platform, memang rezeki yang besarlah.
Nabil:Saya tengok penghijrahan Lofa, saya tahu perubahan dia bukan sahaja perubahan dari segi fizikal macam ni tetapi dia berubah dengan ilmu. Saya mungkin antara orang yang paling lama bekerja dengan Lofa.
Jadi kalau tengok semula, kami dah bergandingan bersama sejak dari pilot episode (2012) dan kemudian kita dah buat berapa ratus episod bersama. Jadi perubahan demi perubahan, Alhamdulillah.
Kami ni macam membesar sekali dan untuk itu saya sangat bersyukur untuk adik saya ni. Dan selepas dia berubah tu, jujur saya cakap bukannya saya join Tabligh ni sebab ‘Oh Lofa dah berubah aku bila lagi’.
Memang tak pernah sekalipun terlintas macam tu. Saya lalui hidup seharian macam biasa tapi Subhanallah… Waktu tu, Masya Allah… Susunan Allah memang cantik. Tak pernah dirancang dan dia pun tak pernah cakap pada saya ‘Kau bila nak berubah? Kita ada program ni’. Memang tiada.
Umpamanya, perasaan syukur saya itu, Allah tak tinggalkan saya. Allah beri hidayah pada Lofa dan diberi kenikmatan yang sama untuk saya. Allahu Akbar.
Kita minta supaya kekal di jalan ini dan terus istiqamah. Doa-doa daripada orang ramai sangat penting dan kami mohon doa-doa daripada orang soleh untuk kami. Insya-Allah.
Neelofa:Daripada lapan tahun kami diletakkan di program berbeza dan kebetulan Allah gerakkan hati kami kebetulan pada waktu yang hampir sama, kita bertukar arah sedikit dan dapat disatukan kembali dalam rancangan ini.
Bayangkanlah lapan tahun juga kami bersama, saya percaya mesti ada doa-doa orang di luar sana yang mendoakan kami berdua dan mungkin dikabulkan Allah untuk kami sampai ke hari ini.
Apabila menyebut nama Rasulullah SAW, apa perkara pertama yang menyentak hati kalian?
Nabil: Ya Allah… Rasulullah penyelamat kita kan. Rasulullah yang akan beri syafaat pada kita di hari Akhirat nanti. Dengan hinanya, lemahnya, dengan tiada apanya saya memang memerlukan syafaat Rasulullah.
Selagi saya hidup saya akan buat apa saja untuk dapatkan syafaat Nabi. Saya tak nak masuk neraka kak dan kita semua pun tak nak. Jadi kita kena beriman, tahu azab neraka ni macam mana.
Saya tak nak jadi orang yang Allah uji dalam kubur. Alhamdulillah di usia 38 tahun ni, diberi kesempatan saya nak betul-betul jadi orang yang Nabi tolong. Saya pun masih perlahan-lahan belajar. Susah nak cakap tapi once kita dah beriman dengan hari Akhirat, dunia kita dah kemudiankan, dah tak ada apa sangat.
Ada seorang ustaz cakap, kalau kita berasa hebat, bangga dengan pujian di Instagram, media sosial misalnya dan kalau kecaman orang buatkan kita rasa terduduk, murung dan kecewa berpanjangan; bermaksud kita tiada iman.
Maksudnya kita hidup atas makhluk. Sia-sianya kita hidup atas makhluk. Dan kalau kita hidup atas makhluk, agak-agak Nabi nak tolong tak? Memang taklah jawabnya.
Mendengarkan jawapan ustaz itu membuatkan saya terus berubah. Itulah saya selalu cakap, impak media sosial ini kalau kita gunakan dengan cara yang betul memang mendatangkan kebaikan. Syukur kerana itu juga saya berubah hingga ke hari ini.
Neelofa:Dunia, harta, kecaman bukan tak perlu ada tapi kita tak pentingkan. Ia bukan lagi objektif utama. Kalau kecaman misalnya, ada yang salah tetap salah, kita minta maaf dan perbetulkan.
Tapi untuk kita rasa down, murung, sedih mungkin kita tak perlu. Sebab kita ada objektif lain yang lebih besar.
Untuk apa kita ‘melayan’ segala caci maki tetapi kita tidak takut kalau apa kita buat, cara kita bercakap atau apa saja perbuatan mengundang kemurkaan Allah? Allahu Akbar
Walaupun penghijrahan itu merupakan sesuatu yang baik, namun Nabil sendiri berasa tidak sedia untuk memberitau penghijrahannya itu kepada umum kerana menganggap hal berkaitan dengan agama bukanlah bahan untuk disensasikan.
Apa yang paling ditakuti olehnya adalah jika hatinya berbolak-balik kerana proses untuk istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mudah.