Pendakwah terkenal, Ebit Lew selesai memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual di Bukit Aman sebentar tadi.
Beliau dilihat keluar dari pintu utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia itu pada pukul 2 petang, lapor Kosmo Online.
Menurut Ebit, rakaman percakapan itu mengambil masa satu jam.
“Saya dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan yang dilemparkan terhadap saya.
“Saya serahkan kepada polis untuk siasatan. Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau,” ujarnya kepada pemberita di lokasi sebentar tadi.
Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.
Beberapa minggu lalu, Ebit ada membuat laporan polis berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap beliau oleh beberapa individu kebelakangan ini.
Ebit memaklumkan beliau difitnah dalam isu yang tular kebelakangan ini dan akan membuat penjelasan lanjut dalam satu sidang media.
Jelasnya, laporan polis itu dibuat berkisar kepada dakwaan yang dibuat oleh seorang selebriti dan seorang aktivis di Palestin.
Bagaimanapun beliau bersedia membuat penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan mereka terhadap beliau.
“Sebelum ini saya sememangnya berdiam diri terhadap sebarang tohmahan dan fitnah terhadap diri saya, dari dulu lagi namun berkaitan isu terbaru ini apabila saya tiba dari Gaza, anak dan isteri saya sendiri tidak dapat menahan kekecewaan dan menangis tentang segala tuduhan yang datang, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis hari ini.
“Laporan (polis) ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin dan meminta polis menyiasat segala fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan.
“Dalam laporan polis itu, saya telah memberikan nama-nama serta mereka yang memetik dan berkongsi segala kenyataan fitnah pihak itu kepada pegawai penyiasat untuk membantu siasatan polis,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.