Kesihatan
“Isteri kena taat suami” Wanita Sedih Suami Bagi Hujah ‘Taat’ Halang Ambil Vaksin
Seperti yang kita tahu, angka kematian dinegara kita meningkat sejak Pandemik C19 melanda dunia.
Kehadiran vaksin adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang bagi meredakan keadaan.
Setelah lebih setahun hidup bersama wabak ini, vaksin telah pun berjaya dihasilkan dan ditawarkan kepada pelbagai negara.
Antara vaksin yang kita selalu dengar adalah AstraZaneca, Sinovac, Pfizer dan bermacam lagi. Ini merupakan salah satu ikhtiar untuk negara kembali pulih.
Biarpun begitu, masih ada sebilangan individu yang tidak mahu divaksinasi atau sering kali kita dengar golongan ‘antivax’.
Lebih memilukan, ada dalam kalangan para isteri yang ingin mendapatkan vaksin namun dihalang oleh suami sehingga membuatkan mereka buntu dan berada dalam dilema. Terkadang sehingga mencetuskan pergaduhan antara suami dan juga isteri.
Oleh kerana banyak pihak yang ingin mengetahui hukumnya, situasi itu turut ditanya kepada Mufti Wilayah Persekutuan dan beliau telah menjelaskan hukum mengenainya dengan terperinci. Ikuti penjelasannya di bawah ini.
SOALAN
Assalamualaikum Datuk. Saya nak Vaksin tapi suami saya tak izinkan langsung, sebab saya isteri dia kena dengar kata dia dalam undang-undang perkahwinan. Macam mana saya nak defend diri saya? Saya sedih.
RINGKASAN JAWAPAN
Dalam Islam adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Manakala vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti C19 yang boleh mengancam nyawa.
Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin C19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.
Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini.
Untuk menjaga kerukunan rumah tangga isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang pihak isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan C19 berdasarkan pandangan pakar.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sistem kekeluargaan Islam sangat memberi penekanan dalam aspek tanggungjawab atau hak-hak antara suami dan isteri.
Suami isteri mesti bertanggungjawab dalam memastikan segala hak tersebut dilaksanakan dengan baik.
Hal ini kerana, sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab boleh menyebabkan keruntuhan dan kecelaruan berlaku dalam rumah tangga. Islam memberi penekanan yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَة
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”
Surah al-Baqarah (228)
Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka suami perlu berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin.
(Rujuk: Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531)
Selain itu, kesihatan dan keselamatan isteri merupakan hak yang wajib dipelihara oleh suami. Hal ini kerana aspek ini merupakan suatu tuntutan syarak dan maqasid syariah, bahkan ia berada dalam kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah yang wajib setiap individu memeliharanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali R.H di dalam kitabnya:
وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنْ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ: وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ
Maksudnya: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.”
(Rujuk: al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 174)
Memelihara nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama.
Justeru, Ikhtiar perubatan adalah bertujuan untuk memelihara nyawa termasuklah mengambil vaksin.
Tambahan pula, dalam keadaan wabak yang semakin kritikal adalah satu keperluan untuk seseorang itu mendapat vaksin bagi mencegah jangkitan C19.
Perkara yang perlu difahami ialah ketetapan oleh pihak kerajaan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang dipercayai telah memutuskan untuk mengambil kaedah vaksinisasi sebagai langkah pencegahan dalam menangani wabak C19.
Bagi kita sebagai seorang Muslim, Islam telah mengajar supaya merujuk kepada pakar dalam bidangnya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
Surah al-Nahl (43)
Sebagaimana umat Islam dituntut agar memelihara lima perkara teras dalam kehidupan seperti agama, nyawa, akal, harta dan maruah.
Oleh yang demikian, sebagai Muslim perlu menjaga kesihatan tubuh badan agar memelihara kelangsungan hidup berpanjangan.
Lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia dilanda dengan wabak yang berbahaya sehingga membawa kepada kematian.
Oleh itu, kita perlu mencegah diri kita daripada terkena dengan wabak tersebut dengan cara yang ditetapkan oleh pemerintah seperti pematuhan SOP dan pengambilan vaksin yang dapat mengurangkan kebarangkalian dijangkiti wabak C19 yang sedang melanda.
Hal ini kerana kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan bahawa:
الضرر يُزَال
Maksudnya: Kemudaratan itu disingkirkan.
(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhoir, al-Subki, 1/41)
Berdasarkan kaedah fiqh ini, Syeikh Mustafa Al-Zarqa ada menyatakan bahawa sesuatu kemudaratan itu WAJIB dihilangkan atau disingkirkan.
Kaedah ini berkaitan dengan kemudaratan dari sudut larangan melakukannya dan kewajipan mencegah dan menyingkirkannya setelah ianya berlaku.
(Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, 179)
Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan nyawa individu seperti wabak virus maka perlulah disingkirkan dan dihilangkan.
Antaranya adalah dengan mengambil langkah berhati-hati terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa seperti pengambilan vaksin yang turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan daripada menimpa seseorang individu.
Oleh yang demikian, pengambilan vaksin ini selari dengan kaedah fekah ini. Sebaliknya, perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin yang boleh memberikan kemudaratan jangkitan terhadap seseorang individu adalah tindakan yang bertentangan dengan kaedah fekah tersebut.
Justeru itu, sekiranya terdapat dakwaan bahawa vaksin ini akan memberikan kesan sampingan kepada individu yang menggunakannya, maka mudarat ini tidak sebesar jika dibandingkan dengan mudarat tidak mengambil vaksin secara total.
Hal ini selari dengan kaedah yang menyatakan apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Nujaim:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhair, Ibn Nujaim, 76)
Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ memperincikan kaedah tersebut bahawa maksud meraikan kemudaratan yang paling berat diantara kedua-dua mudarat itu adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya).
Hal ini kerana segala kemudaratan dipertimbangkan untuk kita mengelak dari melakukannya sepertimana segala kebaikan dipertimbangkan untuk kita melaksanakannya.
(Rujuk: Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201)
Dalam isu vaksin ini sekiranya benar terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka pengambilannya tetap diteruskan kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kesan mudarat yang lebih besar yang bakal berlaku sekiranya ia tidak diambil seperti jangkitan wabak C19 berskala yang lebih besar lagi.
KESIMPULAN
Berdasarkan huraian di atas adalah jelas tentang keperluan untuk menyambut usaha kerajaan ini dengan sebaiknya.
Manakala dari sudut hubungan antara suami dan isteri pula adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami.
Vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti C19 yang boleh mengancam nyawa.
Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin C19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.
Pihak suami tidak seharusnya menghalang isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan C19 berdasarkan pandangan pakar.
Setiap individu perlu mengambil berat tentang pengambilan vaksin kerana menjaga nyawa adalah keutamaan kita dan vaksinasi juga merupakan salah satu ikhtiar.
Seharusnya sebagai isteri, perlulah meluangkan masa untuk berbincang dengan suami agar tidak berlaku perselisihan faham.
"No need to sour-sour, absolutely correction!!" Mak Lailerss