PTPTN telah mengeluarkan kenyataan selepas lebih 24 jam diasak pelbagai persoalan selepas pengumuman mengenai pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB), lapor Astro Awani.
Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN sedia mempertimbangkan rayuan daripada mereka yang memerlukan.
Katanya, apabila peminjam menandatangani perjanjian dengan PTPTN, ia bermakna mereka bersetuju untuk membuat pembayaran balik mengikut sebarang skim yang ditetapkan oleh PTPTN.
“Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani. Saya ingin nyatakan bahawa, melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telah pun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan,”
Sebelum ini, PTPTN telah membuat pengumuman di mana bermula Januari 2019, perbadanan itu akan berhubung terus dengan majikan yang akan membuat bayaran pinjaman melalui potongan gaji.
Wan Saiful Wan Jan berkata bayaran melalui Potongan Gaji Berjadual (PGB) itu akan dikenakan serendah RM40 sebulan dengan gaji minima RM2,000 sebulan.
Wan Saiful menegaskan, terdapat peruntukan dalam Akta PTPTN 1997 yang memberi kuasa kepada perbadanan untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberikan pendapatnya berkenaan isu ini.
Beliau mencadangkan nama dan wajah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menjadi ingatan ramai, susulan dasar baharu kerajaan berhubung pembayaran balik pinjaman PTPTN yang dilihat tidak bertimbang rasa.
Di dalam laman satu posting Facebook, Najib juga mencadangkan perkara sama dibuat terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik selain meminta rakyat bertanya khabar kepada pejuang mahasiswa yang dipercayai merujuk kepada Adam Adli Abd. Halim, yang sebelum ini menjadi antara mereka menuntut pendidikan percuma.
“Kesemua mereka ini sejak masuk ke Kementerian Pendidikan, kerja mereka menyusahkan orang sahaja. Memang betul. Masa Barisan Nasional (BN) kita pun galakkan peminjam untuk bayar balik. Tetapi kita ambil kira kos sara hidup peminjam,” katanya.