Seorang pemuda dicadangkan supaya menyimpan misai dan janggut untuk mengelakkan orang ramai keliru dengan jantinanya kerana memiliki wajah yang ‘cantik’.
“Saya cadangkan simpan sedikit misai dan janggut supaya iman jejaka terjaga,” komen @ashrieruslan kepada pemuda tersebut.
Abdussalam Firdaus Abdul Aziz menyambut cadangan tersebut dengan jawapan lucu. Dia berkata sudah cuba melakukannya, namun misai dan janggutnya tumbuh seperti ikan keli.
Abdussalam Firdaus berkongsi gambar swafotonya di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapsyen “bangsa final” ketika menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018.
Gelaran bangsa final merujuk kepada mereka yang hadir memberi sokongan terhadap skuad kebangsaan ketika perlawanan penting itu berlangsung, Selasa lalu.
Foto tersebut kemudian di retweet dengan komen “lelaki paling cantik” oleh seorang pelayar Twitter @brgsjks sehingga menerima lebih 3,800 tanda suka.
Abdussalam Firdaus berkata, dia sudah lali dengan tanggapan orang luar yang menyangka dia seorang perempuan.
“Semasa saya nak masuk stadium tu pun, polis tak percaya saya lelaki dan meminta saya tunjukkan kad pengenalan.
“Saya perlu buktikan jantina kerana polis lelaki perlu lakukan pemeriksaan tubuh ke atas penyokong lelaki bagi tujuan keselamatan dan polis wanita pula akan memeriksa penyokong wanita,” ujarnya.
Tambah pelajar tahun dua ijazah sarjana muda perniagaan dari Universiti Kuala Lumpur itu, dia pernah menggayakan rambut pendek sebelum ini, namun ada pula orang yang memanggilnya ‘pengkid’.
Abdussalam Firdaus ketika menggayakan rambut pendek. – Instagram @amlegend77
Walaubagaimanapun, Abdussalam Firdaus yang berasal dari Sepang itu tidak pernah mengambil hati dengan gelaran yang diberikan dan tetap bersyukur dengan kurniaan wajah yang diberikan kepadanya.
Selain wajahnya yang menjadi perhatian, jersi pasukan yang dipakainya ketika menghadiri perlawanan tersebut turut menimbulkan persoalan netizen.
“Saya sebenarnya tak rancang pun nak tengok final tetapi kebetulan kawan saya ada tiket lebih dan ajak saya ke sana.
“Masa itu pula saya baru habis kelas, jadi saya terus pakai baju itu (jersi Argentina) ke stadium,” jelasnya yang amat meminati pelakon Tiz Zaqyah.
Abdussalam Firdaus menegaskan, sebagai lelaki sejati dia hanya ingin menjalin hubungan dengan golongan wanita sahaja walaupun ada kaum Adam yang menaruh hati terhadapnya.
Sumber: mStar