[VIDEO] Penduduk Kulim Berzikir Beramai-ramai Bantah Konsert Tahun Baru
Ratusan penduduk memakai jubah dan kopiah putih berdiri sambil berzikir di Desa Aman, Kulim katanya bagi menghalang penganjuran konsert tahun baru 2019 difahamkan oleh sebuah premis milik syarikat dari China.
SCROLL KE BAWAH UNTUK MENONTON VIDEO
Dalam rakaman video yang tersebar, kedengaran suara orang ramai menyebut kalimah “Lailahaillallah,” (Tiada tuhan disembah melainkan Allah) berulang kali sambil berdiri di hadapan sebuah bangunan yang dipercayai sebuah pasaraya.
Berdasarkan video tersebut, terdapat beberapa individu dipercayai penyokong PAS kelihatan memakai baju ARC (kelab motorsikal PAS) berwarna hijau.
Selain itu kelihatan juga individu-individu memakai pakaian seragam Unit Amal PAS berwarna merah maroon.
Menurut individu yang mengirim video berkenaan, tanah yang menjadi tempat protes penduduk itu, termasuk antara beribu ekar yang telah dijual kepada Syarikat dari China ketika zaman Najib masih sebagai Perdana Menteri.
Dakwanya lagi, ketika itu penduduk kampung menerima bayaran RM100 bagi setiap kaki persegi tanah yang dibeli.
Walaupun menerima bantahan dari penduduk, konsert tahun baru itu tetap juga diadakan di dalam sebuah dewan, dan dibuat secara tertutup.
Selain daripada di Kulim, boleh dikatakan semua negeri mengadakan konsert bersempena menyambut tahun baru 2019.
Contohnya, lima ribu pengunjung membanjiri ruang Pusat Komersial Mutiara Damansara (MDCC) untuk meraikan sambutan tahun baru 2019.
Konsert sambutan ambang tahun baru itu sepatutnya bermula 9 malam, namun hujan turun agak lebat.
Sekitar 10 malam, persembahan dimulakan dengan kemunculan juara Mentor Otai, Elvira, apabila hujan reda dan pengunjung mula membanjiri sekitar jalan.
Elvira menghiburkan pengunjung dengan enam lagu antaranya One Thousand Million Smiles nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan lagu Sempurna (Andra And The Blackbone).
Penyanyi Aizat Amdan tampil membuat persembahan pada 11 malam dan menyanyikan tiga lagu iaitu Sampai Ke Hari Tua, Hanya Kau Yang Mampu dan medley lagu Inggeris popular iaitu Perfect, Hero dan Mama.
Kemunculan kumpulan Ruffedge pada 11.30 malam melengkapkan konsert ambang tahun baru 2019 dengan menyanyikan tiga lagu popular mereka iaitu D’ Bomb, Bila Rindu dan Khayalan.
Sementara itu, Aizat dalam ucapan ringkasnya berkata, semoga kedatangan 2019 akan memberikan keamanan lebih baik buat Malaysia.
“Apa yang sudah berlaku pada 2018 kini menjadi kenangan dan mulakan kehadiran 2019 ini dengan azam dan impian baru,” katanya.
MDCC merangkumi the Curve, e Curve dan pusat beli-belah IPC menganjurkan ambang tahun baru 2019 itu sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung yang sentiasa memberi sokongan.
Hadir sama meraikan sambutan yang menghiburkan dan penuh warna-warni dengan percikan bunga api ialah Pengurus Besar Kanan the Curve Jazmi Kamarudin.