Siapa sangka, sisa plastik yang bertimbun di sebuah gudang yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor, datang dari 8,500 batu jauhnya, lapor Astro Awani.
Kebanyakan dari sisa plastik yang dijumpai setinggi paras pinggang itu dilaporkan berasal dari Amerika Syarikat (AS), menurut Los Angeles Times.
Antara yang ditemui dalam lambakan itu, pelekat ‘Sacramento Municipal Utility District’ yang ditampal pada barangan plastik.
Turut kelihatan di antara timbunan sisa plastik itu, sekumpulan pekerja wanita yang bertungkus-lumus meleraikan barangan plastik untuk dijual semula, semata-mata bagi mendapatkan gaji serendah RM40 sehari.
Sejak China melarang import ke atas bahan buangan sisa pepejal setahun yang lalu, kebanyakan peniaga sisa plastik ini berpaling ke negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Malaysia.
Menurut data kerajaan AS, Malaysia mengimport lebih 192,000 tan metrik sisa plastik pada 10 bulan pertama tahun lalu, sekali gus mencatat kenaikan sebanyak 132 peratus berbanding import tahun lepas.
“Malaysia telah menjadi tapak pembuangan sampah dunia,” kata Heng Kiah Chun, warga Malaysia yang menjalankan kempen bagi organisasi perlindungan alam sekitar, Greenpeace.
“Bagaimana Malaysia hendak mengurus sisa negara lain sedangkan kita selama ini sudah pun bersusah payah mengurus sisa domestik sendiri?” soalnya lagi.
Sebelum ini, Greenpeace telah menyarankan kerajaan agar mengambil tindakan keras terhadap kilang haram memproses sisa plastik, khususnya yang terletak di Jenjarom, Kuala Langat.
Pada September 2018, kerajaan mengumumkan bahawa caj levi bernilai RM15 akan dikenakan ke atas pengusaha yang memohon permit import (AP) bagi satu tan sisa plastik.
Bagaimanapun, kebanyakan sisa plastik sedia ada sebenarnya sukar untuk dikitar semula.
Keadaan ini akan terus kekal mencemari persekitaran negara ini.
Penyelidikan terkini Greenpeace Malaysia mendedahkan, negara ini telah menjadi tapak lambakan baru untuk kitar semula plastik dari lebih 19 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Jurucakapnya, Heng Kiah Chun berkata, laporan Greenpeace Malaysia jelas menunjukkan pelanggaran peraturan secara terang-terangan dalam pelupusan sisa ini, termasuk pembuangan sampah dan pembakaran secara terbuka.
Sehingga kini, kemasukan sisa plastik dari luar negara katanya, tidak dikawal dan tidak diproses dengan cara yang mampan dan selamat.
“Malaysia telah menjadi tong sampah dunia.
“Kerajaan harus mewujudkan pasukan petugas penguatkuasaan khas ke atas sisa plastik yang diimport, dengan mandat untuk menguatkuasakan pelaksanaan tindakan kualiti alam sekitar dan semua undang-undang lain yang berkaitan dengan isu berkenaan,” katanya.
Heng berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh wakil penduduk Jenjarom Kuala Langat, Pua Lay Peng dan bekas ketua kampung Jenjarom Tan Ching Hin.
Media melaporkan bahawa sejak tahun lalu, jumlah kilang kitar semula plastik di Kuala Langat semakin meningkat.
Dianggarkan untuk tahun ini sahaja terdapat hampir 40 buah kilang kitar semula plastik di tanah Kuala Langat.
Menurut Pua, dengan tahap penguatkuasaan yang lemah, kilang yang beroperasi dipercayai milik peniaga dari China yang semakin bermaharajalela.
Walaupun tindakan keras Kerajaan menutup 114 kilang haram memproses sisa plastik sekitar Julai tahun ini, siasatan Greenpeace mendedahkan kilang berkenaan masih mempunyai sejumlah besar sisa plastik yang diimport yang dibuang di bangunan terbengkalai atau dibiarkan membusuk di tempat terbuka.