Ujian seperti kehilangan insan yang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi sesiapa yang pernah kehilangan pasti faham akan peritnya situasi tersebut.
Lebih menyedihkan apabila keterujaan yang membuak-buak menanti kehadiran cahaya mata tersayang bertukar menjadi detik duka.
Begitulah nasib yang ditanggung oleh seorang suami bernama Dzul Hisham apabila terpaksa menerima pemergian anaknya yang baru sahaja dilahirkan.
Menurut Dzul, anak keduanya itu dilahirkan sebagai bayi pramatang dan tidak dapat diselamatkan kerana terputus bekalan oksigen daripada ibunya.
Namun apakan daya, Allah SWT lebih menyayangi bayi berusia 32 minggu itu walaupun pada hakikatnya bayi perempuan tersebut boleh bertahan.
Dzul sekali lagi diuji dengan kehilangan isterinya pula, selang sehari kemudian. Sebelum itu, isterinya yang baru bersalin telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Walaupun diuji dengan begitu hebat, Dzul reda dengan takdir. Dzul turut memaafkan semua kesalahan isterinya dan berdoa agar kedua-keduanya ditempatkan di syurga.
Sementara itu, Dzul menzahirkan hasratnya yang ingin menumpang dan berpaut kepada anak dan isterinya untuk sama-sama ke syurga Allah.
“Semoga anak syurga kami menunggu kami dipintu syurga kelak.
“Sayang berehatlah dulu, jaga anak perempuan kita, nanti abi dtg dgn umar” tulisnya di Facebook.