Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956.
Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984 dan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987.
Setelah kemangkatan ayahanda baginda, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.
Sultan Nazrin memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5, dan menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah dari Darjah 6 hingga Tingkatan 2 di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.
Ketika berusia 13 tahun, Sultan Nazrin berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.
Baginda kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.
Sultan Nazrin ialah Felow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College dan St Edmund’s College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felow Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia; dan Penaung Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Atas jemputan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon, Sultan Nazrin telah berkenan mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015-2016.
Baginda pernah memenuhi peranan sebagai Duta Khas Malaysia menghadiri Dialog Antara Agama dan Antara Kebudayaan di konferens Perikatan Peradaban anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sultan Nazrin dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya berkuat kuasa 16 Julai 2014.
Pada 14 Ogos 2014, baginda berkenan menerima peranan sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.
Sultan Nazrin telah diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia apabila Sultan Muhammad ke-V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat mencemar duli ke istiadat persemadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat mewakili negara sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Besar, Thailand pada 25 Oktober 2017.
Pada 2 November 2018, baginda diangkat sebagai Pemangku Raja mengambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sehingga 31 Disember kerana Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.
Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Malaysia, Sultan Nazrin menandatangani watikah perisytiharan setelah ia dibaca oleh Tun Dr Mahathir bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Hakim Negara dan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja di Istana Hinggap.
Walau bagaimanapun, disebabkan perletakan jawatan secara mengejut oleh Sultan Muhammad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari 2019, baginda sekali lagi menjadi pemangku raja pada hari berikutnya manakala Majlis Raja-Raja akan memilih Yang Di-Pertuan Agong ke-16 pada 24 Januari 2019 dan upacara mengangkat sumpah akan diadakan pada 31 Januari 2019.