Connect with us

Viral

Hukum Penghantar Makanan Hantar Makanan Haram, Ini Jawapan Ustazah Asma’ Harun

Teknologi pada zaman kini semakin moden dan canggih dari pelbagai sudut. Begitu juga dalam sektor industri makanan, wujudnya servis penghantaran makanan di atas talian. Namun menjadi persoalan, apakah hukum menghantar makanan haram seperti alkohol dan khinzir oleh penghantar makanan menurut Islam?

Terbaru, gambar yang telah dimuat naik di laman Facebook pengguna Ustazah Asma’ Harun tular dengan satu soalan berkenaan isu tersebut.

“Assalamualaikum. Ustazah, saya bekerja sebagai penghantar makanan (rider). Adakalanya, saya dapat pesanan makanan tidak halal seperti arak dan daging khinzir.

“Boleh ustazah jelaskan hukumnya?” soal pengikutnya.

Ustazah Asma’ menjawab persoalan yang dikemukan itu pada caption yang telah dimuat naik olehnya.

“Seseorang yang bekerja sebagai penghantar barang dan sifat pekerjaannya itu adalah umum serta tidak bertujuan jahat, maka hasil pendapatan yang diperolehi itu adalah halal.

“Namun, jumhur ulama seperti Imam al-Khatib al-Syarbini mengatakan bahawa haram bagi jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran sekiranya SEDAR/DIKETAHUI.

“Ia juga jatuh haram apabila terdapat sangkaan yang kuat akan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram.

“Sebarang jenis urusan jual beli yang melibatkan perkara yang diharamkan adalah haram kerana ia termasuk dalam larangan membantu perbuatan dosa dan persengketaan,” ulas Ustazah Asma’.

Sungguhpun demikian, pekerjaan itu boleh dilakukan sekiranya seseorang itu masih belum berpeluang menerima pekerjaan di dalam bidang yang diyakini halal walaupun telah berusaha sedaya upaya mencari pekerjaan tersebut, dalam situasi tertentu.

“Walau bagaimanapun, jika masih belum berpeluang untuk bekerja dalam bidang atau perkhidmatan yang diyakini halal SETELAH MELAKUKAN PELBAGAI IKHTIAR , maka boleh mengamalkan pendapat mazhab Hanafi.” katanya.

Sementara itu, Ustazah Asma’ juga menyenaraikan lima perkara yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk penghantar-penghantar makanan.

1. Harus bekerja sebagai penghantar makanan (rider) sekiranya barang dan sifat pekerjaannya umum dan tidak bertujuan jahat.

2. Haram jika dia mengetahui bahawa pekerjaannya jelas membawa kepada maksiat dan kemungkaran seperti arak, khinzir dan sebagainya walaupun ditujukan kepada orang bukan Muslim.

3. Haram baginya untuk menghantar sesuatu pesanan sekiranya dia mendapat sangkaan yang kuat (yakin) akan tujuan penggunaan pesanan tersebut membawa kepada perkara haram.

4. Dimaafkan jika terdapat barangan sampingan ikutan (tabi’) yang haram sedangkan asal pekerjaannya adalah harus seperti menghantar pesanan makanan yang halal namun terdapat ramuan atau bahan haram yang digunakan dalam makanan tersebut.

5. Jika pesanan bercampur halal dan haram, perlu melihat kepada 3 perkara iaitu:
– Jelas mengetahui makanan/minuman yang halal melebihi yang haram maka ia dianggap halal.
– Jelas mengetahui makanan/minuman yang haram melebihi yang halal maka ia perlu dielakkan menurut Imam Ahmad.
– Tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram maka hukumnya adalah makruh menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.

Menjengah di ruangan komen, warga masyarakat sangat berterima kasih kepada Ustazah Asma’ kerana memberikan penerangan yang terperinci dan jelas difahami.

Antara komen netizen:

“Subhanallah.. terang dan jelas, terima kasih ustazah perkongsian ini.🤲🌹🧡😊”

“Alhamdulillah terima kasih di atas pencerahan yg jelas dan terang ni …syukur Alhamdulillah …”

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.