Tidak dapat dinafikan, sekali sekala bila melihat persabahatan antara murid-murid di sekolah terkadang menyentuh perasaan kita yang dewasa. Mereka berkawan tidak mengenal erti warna kulit mahupun perbezaan dari segi fizikal.
Begitulah sifat kanak-kanak jika dididik dengan baik oleh ibu bapa. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak juga diibaratkan sebagai kain putih, ibu bapa dan guru di sekolah yang mencorakkan keperibadian mereka.
Baru-baru ini tular sebuah video berdurasi 8 saat yang cukup menyentuh hati ramai. Video yang dimuat naik oleh seorang guru di Sekolah Rendah Inarad, Tongod, Sabah, edwinpiusentak memaparkan seorang murid lelaki sedang menyuap makanan kepada rakannya.
Dua orang murid sekolah itu duduk semeja dan menghadap ke arah masing-masing. Seorang murid lelaki dengan tenang menyuap rakannya sambil disaksikan beberapa orang murid.
Namun apa yang menarik perhatian ramai, rakan yang disuap murid sekolah rendah tersebut merupakan anak istimewa sindrom down! Walaupun mempunyai perbezaan dari segi perkembangan, murid tersebut dilihat langsung tidak malu untuk berkawan dengannya.
Murid lelaki itu malah ikhlas berkawan dengan murid istimewa berkenaan. Menerusi video yang dikongsikan, dia lebih mengutamakan rakannya kerana terlihat makanannya masih penuh dan diletakkan di penjuru meja.
Sejak video menyentuh hati itu dimuat naik, ianya berjaya mengumpul jumlah tontonan sebanyak 418.8 ribu serta meraih 44.4 ribu tanda suka!
Menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya sebak melihat keikhlasan persahabatan mereka. Dalam pada itu, netizen memuji ibu bapa murid lelaki itu kerana memberikan didikan yang terbaik dalam membentuk sifat murni dalam diri murid tersebut.
Selain itu, mereka juga mengucapkan terima kasih kepada murid berkenaan kerana memberi contoh yang baik kepada kanak-kanak seusianya malah berharap agar persahabatan mereka kekal selama-lamanya.
Berikut antara komen-komen yang diberikan netizen di TikTok
“Baik budaknya . Tahniah buat kedua org tua adik ini . Anda berjaya berikan didikan yang baik buatnyaa🥺🥺”
“semoga adik jadi anak yg soleh dunia n akhirat..berjaya dalam kehidupan…aminm”
“maafkan uncle.. tetiba air mata mengalir tgk video ni.. hanya org yg melihat dr mata hati akan tersentuh..”
“didikan ibubapa n cikgu…tq adik bg cntoh baik utk ank2 saudara mcik”
Video yang tular di laman TikTok