Kemalangan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dielakkan. Di Malaysia, kes kemalangan jalan raya ini semakin meningkat tahun demi tahun.
Memetik laporan Kosmo, seorang lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Iriz terbabas lalu terjatuh ke dalam landasan kereta api pada ketinggian hampir 10 meter awal pagi tadi berhampiran dengan kawasan Wadi Hana di Johor Bahru.
Difahamkan, mangsa yang berusia 28 tahun itu berjaya keluar sendiri dari kereta tersebut sebelum dibantu oleh orang awam untuk naik semula ke atas.
Kejadian berlaku kira-kira pada jam 2 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Nazaruddin Ahmad Zainuddin menyatakan bahawa pihaknya telah dihubungi pada pukul 2:32 pagi menerusi panggilan kecemasan.
Menurut Nazaruddin, beliau mendapati sebuah kenderaan dalam keadaan terbalik berhampiran dengan landasan kereta api tersebut ketika pasukan beliau sampai di lokasi kejadian itu.
“Seramai 11 anggota dengan sebuah jentera dan van Penyelamatan dan Perawatan kecemasan (EMRS) serta unit tindakan cepat bermotosikal (RIM) diarah ke lokasi kejadian.
“Kita turun bersama pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan bantu mula (first aid) kepada mangsa sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung,” ulas lanjut Nazaruddin.
Menerusi kenyataan Nazaruddin lagi, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang memandu kenderaan tersebut ingin menghala ke pusat bandar dari Lebuh Raya Tebrau terbabas ketika melalui lokasi kejadian tersebut.
Berhubung dengan kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Operasi menyelamat pula ditamatkan pada pukul 3 pagi tadi.
Sekadar info, sebelum ini juga terdapat suatu kes kemalangan direkodkan di mana keretanya terjatuh di atas landasan kereta api KM 43, Jalan Temerloh-Bahau.
Menerusi laporan MyKMU.net, lima orang yang menaiki kenderaan tersebut didapati hanya cedera ringan ekoran insiden yang telah berlaku.
Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin yang turut menyatakan bahawa kejadian itu turut membabitkan empat buah kenderaan lain.
Difahamkan juga, kenderaan Proton Exora yang dinaiki oleh mereka telah dialihkan dari landasan keretapi tersebut.