Penggunaan telefon bimbit terutamanya pada waktu hujan amat berisiko dan bahaya kepada diri kita. Kebarangkalian untuk telefon bimbit disambar kilat sangat tinggi sekiranya telefon bimbit sedang dicas kerana disambungkan dengan konduktor cas elektrik.
Memetik laporan Berita Harian, seorang kanak-kanak maut dipanah petir ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Kuala Betis, petang semalam.
Difahamkan, mangsa yang berusia 12 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya M Nor Zawawi Awang, 54, di dalam biliknya pada jam 4:50 petang.
Bapanya menyatakan bahawa sebelum kejadian, dia terdengar dentuman petir kuat diiringi dengan cuaca hujan menyebabkan bekalan elektrik rumahnya terputus.
Pada ketika itu juga dia berada di surau tidak jauh dari rumahnya untuk mengerjakan solat Asar.
“Isteri saya datang memaklumkan bekalan elektrik di rumah terputus.
“Saya pulang ke rumah dan memeriksa kerosakan sebelum kembali ke surau. Tidak lama kemudian isteri datang memaklumkan anak saya ditemui tidak sedarkan diri.
“Saya lihat Nur Asyqin Qistina kesan terbakar pada tangan kanan dan tilam selain terdapat telefon bimbit berdekatannya,” jelas bapanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang.
Zawawi turut menjelaskan bahawa dia telah membawa Nur Asyqin Qistina ke Klinik Kuala Betis tetapi disahkan meninggal dunia.
Menurut Zawawi, ketika itu hujan turun renyai-renyai di sana.
“Saya pun terus bawa ke klinik Kuala Betis dan disahkan meninggal,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu kini sedang dibedah siasat di Hospital Gua Musang.
“Nur Asyqin Qistina mungkin kena panah petir ketika menggunakan telefon bimbit berdasarkan kesan terbakar di tangan selain telefon anak saya juga rosak.
“Apa yang berlaku sangat mengejutkan kami sekeluarga, namun kami reda,” terang bapa mangsa.
Proses pengebumian mangsa akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Betis, selepas proses bedah siasat selesai dilaksanakan.
Admin doakan semoga roh Nur Asyqin Qistina dicucuri rahmat, dipermudahkan segala urusan dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Salam takziah buat keluarga.