Melayari bahtera perkahwinan bukan lah satu perkara yang mudah malah memerlukan kesabaran yang tinggi. Hidup sebagai pasangan juga perlu bertolak ansur antara satu sama lain untuk mengekalkan hubungan yang bahagia.
Pun begitu, ada pasangan yang bakal berkahwin mencari tips-tips yang boleh digunakan untuk memasuki alam perkahwinan.
Baru-baru ini, pelakon dan usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Nor telah berkongsikan tips dan pesanan sebelum berkahwin di sebuah majlis ilmu. Menurutnya, selepas mendirikan rumah tangga bersama suami Haris Ismail dia baru memahami erti sebenarnya perkahwinan.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @nurliyanaismazaini memaparkan Neelofa bersama PU Haris yang sedang memberi pesanan berkenaan persiapan diri sebelum berkahwin ini telah mendapat perhatian ramai. Kata Neelofa, dia kini memahami dan sedar apa tanggungjawab yang perlu digalas setelah bergelar isteri.
“Ini salah satu turning point ataupun kesedaran saya yang besar tentang perkahwinan dan jodoh. Sebenarnya, dulu kalau orang tanya saya nasihat sebelum berkahwin, saya tiada jawapan sebab tak tahu nak pesan apa. Sekarang bila kita faham apa itu perkahwinan, apa itu kehidupan selepas akad saya ada satu pesanan untuk semua,”katanya.
Dalam pada yang sama, Neelofa turut berpesan agar pasangan-pasangan di luar sana boleh mendalami serta mempelajari ilmu rumah tangga kerana suami isteri perlu mengambil berat dengan peranan masing-masing dalam rumah tangga.
“Belajarlah ilmu rumah tangga, tentang hak-hak seorang isteri dan juga suami. Kalau tak faham tentang ilmu perkahwinan, erti sebenar dalam tanggungjawab sebagai suami isteri, maka banyaklah kesusahan, kepayahan dan cabaran yang kita kena tanggung. Sebab kalau isteri tak tahu apa yang kita kena buat dalam rumah tangga, dan suami sebagai ketua keluarga tak main peranan, perkara tersebut akan terpesong jauh.”
“Secara ringkasnya, tanggungjawab suami adalah untuk mencari nafkah dan menanggung keluarga dari segi menyediakan rumah, makanan, pakaian dan sebagainya.”
“Percayalah, bila kita mengikut segala saranan dan panduan yang agama sediakan, kesejahteraan, sakinah, ketenangan, kehormatan dan keberkatan akan turun dalam keluarga. Walaupun suami bukan cari rezeki yang mencecah jutaan ringgit tetapi kalau rezeki itu halal dan berkat, itu sudah mencukupi. Allah akan bagi kebahagiaan.” tambahnya
Selain itu, pelakon ini sempat menekankan kepetingan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dimana usaha untuk menyediakan makanan untuk keluarga itu bakal dipandang mulia oleh Allah.
“Isteri yang sepatutnya sediakan makanan atas meja. Orang zaman sekarang kan fikir memasak bukan lagi keutamaan sebab boleh beli atas talian. Percayalah, usaha dan kesusahan kita untuk belajar dan menyediakan makanan untuk keluarga, itu Allah pandang.” ujarnya lagi
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen di platfrom media sosial memberikan kata-kata positif dan bersetuju dengan tips yang diberikan oleh usahawan terkenal, Neelofa. Bukan itu sahaja, terdapat segelintir yang menyifatkan Neelofa terlalu ‘mentah’ kerana perjalanan perkahwinan mereka masih jauh jika mahu dibandingkan dengan pasangan yang sudah berkahwin bertahun-tahun.
Antara komen warganet di laman TikTok dan Facebook:
“Alhamdullilah tips yang sangat berguna..semoga dipermudahkan perbaiki diri untuk jadi isteri yang lebih baik..”
“Ye percaya lah..tak susah orang yang taat pada Allah & berbuat baik pada isteri seperti disuruh..”
“Walaupun dah 23 tahun berkahwin..saya tak berani nak bagi tips sebab saya pun tak sempurna…suami yang banyak bersabar dan bertolak ansur walaupun kadang-kadang baran saya ni buat dia stress..”
“Biarlah dia nak bagi tips..lagipun dia ada maid, memang dia boleh itu semua..”
“Baru setahun..masih jauh perjalanan tu nak kena hadap..”
Video perkongsian yang tular: