Siapa sahaja tidak kenal dengan penyanyi lagenda tanah air M. Daud Kilau, penyanyi yang terkenal dengan lagu dan busana labucinya itu. Penyanyi veteran ini tidak akan pernah dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia dengan persembahan ikoniknya itu.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini M. Daud Kilau telah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas pada malam Rabu lalu sekitar jam 12 malam.
Difahamkan, beliau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan dan kini masih berada dalam keadaan separuh sedar dan kritikal.
Anaknya, Ahmad Zaini, 51, menyatakan bahawa bapanya itu terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan masih lagi berada dalam pemantauan rapi oleh doktor dan pihak hospital berkenaan.
“Doktor maklumkan kepada keluarga bahawa Dato (M Daud Kilau) kritikal, ada masalah paru-paru berair.
“Kami sekeluarga membenarkan doktor untuk membuat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) dan masukkan tiub bagi membantu pernafasannya,” terang anaknya itu.
Dikatakan pada dua tahun lalu, beliau pernah dimasukkan Institut Jantung Negera (IJN) Kuala Lumpur untuk menjalani prosedur pembedahan angioplasty.
Terdahulu, penyanyi lagenda lagu ‘Cek Mek Molek’ ini pernah meluahkan hasratnya untuk kembali menghiburkan para peminatnya.
Namun disebabkan faktor kesihatan yang tidak begitu mengizinkan, hasrat itu dilupakan dahulu buat sementara waktu.
Pada dua tahun lalu, penyanyi berusia 84 tahun ini pernah juga dimasukkan ke hospital akibat menghidapi pelbagai komplikasi penyakit kronik.
“Saya doakan peminat panjang umur dan murah rezeki. Doakan saya cepat sembuh, jika tak baik tak apa. Kalau saya ‘pergi’, doakan saya selamat pergi dan sedekahkan al-fatihah,” pesan beliau buat para peminatnya pada dua tahun lepas.
Kali terakhir M. Daud Kilau beraksi di pentas adalah pada enam tahun yang lalu.
Selepas itu, beliau tidak lagi aktif dalam dunia hiburan walaupun masih dijemput oleh beberapa pihak untuk membuat persembahan.
Sekadar info, M. Daud Kilau pernah menempah nama dalam dunia seni dengan menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat pada tahun 1985 dalam kategori nyanyian asli.
Tidak cukup dengan itu, Sultan Perak yang ke-34 iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah juga telah mengurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada M. Daud Kilau bagi mengenang jasa beliau dalam dunia seni pada tahun 1991.
Admin doakan semoga M. Daud Kilau cepat sembuh, dikurniakan kesihatan yang baik-baik dan dipermudahkan urusan buat keluarga.