Umum mengetahui, isnin lalu pasangan pelakon sama cantik sama padan Adam Lee dan Sweet Qismina ini telah selamat disatukan sebagai suami isteri selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.
Perkahwinan mereka juga mendapat perhatian ramai di platform media sosial malah penampilan Sweet yang mengenakan penampilan berhijab ketika majlis akad nikahnya itu turut menerima pujian warga maya.
Pun begitu, Adam Lee atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee ini memaklumkan semasa menjalani fasa pertunangan dia menolak beberapa tawaran berlakon sebagai lelaki romantik serta menjaga batasnya.
Memetik sumber, pelakon yang berusia 28 tahun ini mengatakan mereka berdua sering menjaga pergaulan dan saling mempercayai antara satu sama lain. Tambahan pula, perkara sebegitu adalah sebahagian daripada cabaran dalam fasa tersebut.
“Sebelum kami bernikah lagi iaitu dalam fasa bertunang memang kami sudah menjaga batas. Kami akan sentiasa saling mengingatkan.
“Malah, saya pernah ditawarkan membawa watak seorang suami yang perlu beraksi romantis dengan isterinya, tetapi saya tarik diri…” katanya.
Walau bagaimanapun, Farhana Qismina Supandi atau lebih mesra dipanggil Sweet ini menjelaskan dia dan Adam mempelajari banyak perihal tentang batas sesuatu perhubungan bersama pelakon-pelakon lain.
“Ketika itu (fasa pertunangan) baru Sweet tahu kalau berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki, ada batas untuk dijaga… begitu juga Adam. Kami sentiasa berbincang untuk memberitahu apa yang perlu dijaga. Sebagai seorang pelakon kami tidak boleh mengelak untuk mempunyai pasangan dalam drama, namun apa yang penting kita perlu tahu cara menjaga batas,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, Sweet menyatakan sebagai seorang pelakon, mereka sering berbincang dahulu dengan pengarah sebelum melakonkan mana-mana adegan danmengubah cara penyampaian lakonan dari sudut lain.
“Andai kata dalam drama tersebut kita kena buat begitu begini, tapi bila jumpa pengarah kita boleh berbincang. Sewaktu meeting bersama team produksi, kami akan berbincang terlebih dahulu dan menyuarakan jika ada beberapa babak yang perlu diubah cara penyampaiannya,” katanya.
Sekadar info, pada tanggal 24 Oktober pasangan ini selamat bernikah dengan sekali lafaz di sebuah lokasi acara di Ampang. Pada majlis pernikahan, Sweet telah menerima mas kahwin RM2,410.9 yang juga merupakan simbolik tarikh kelahiran Sweet berserta lima dulang berbalas tujuh.