Pengeluar pakaian jenama mewah, Gucci telah melancarkan satu kasut keluaran terbarunya yang sengaja kelihatan lusuh dan kotor dengan harga AS$835 ataupun sekitar RM3,400.
Melalui laman webnya, Gucci memberitahu koleksi kasut terbaru itu yang dikenali sebagai Screener GG Sneaker digambarkan sebagai vintaj, ‘old school’ dengan kesan lusuh.
Kasut yang dibuat di Itali itu bertemakan tahun 1970-an dan kelihatan lusuh dari tapak hingga ke atasnya.
Walau bagaimanapun, kasut daripada koleksi Cruise 2019 itu menimbulkan persoalan daripada orang ramai kerana dijual pada harga yang mahal.
Ramai peminat jenama itu juga mempersoalkan sama ada pengguna sanggup membeli kasut yang kelihatan lusuh dan kotor itu dengan harga yang mahal.
Gucci merupakan jenama fesyen dan barangan mewah Itali yang diasaskan oleh Guccio Gucci di Florence pada tahun 1921.
Untuk rekod, Gucci menjana €4.2 bilion pendapatan di seluruh dunia pada tahun 2008 menurut BusinessWeek dan menduduki kedudukan ke-41 dalam carta tahunan “Global 100 Brands” 2009 yang dicipta oleh Interbrand.
Malah, Gucci mengendalikan kira-kira 278 butik yang dikendalikan secara langsung di seluruh dunia pada September 2009, dan ia memborong produknya melalui francais dan gedung membeli-belah kelas atas.
Pada tahun 2013, jenama Gucci bernilai AS$ 12.1 bilion, dengan jualan AS $ 4.7 bilion. Di dalam senarai Jenama Paling Bernilai Dunia Forbes, Gucci menduduki tempat ke-38 jenama paling berharga, dengan nilai jenama $ 12.4 bilion pada Mei 2015.