Kadang kala apa yang kita inginkan, memerlukan pengorbanan daripada diri kita sendiri.
Misalnya dengan menjadi seorang pendidik, seseorang individu sanggup berjauhan dengan keluarganya kerana dihantar ke sekolah yang jauh daripada tempat asalnya.
Seperti kisah seorang gadis ini yang bernama Nor Hasnina Hatta selepas dia ditawarkan untuk bekerja sebagai pendidik di sebuah kawasan pedalaman di Sarawak pada awal Mac yang lalu.
Hasnina yang juga merupakan seorang anak sulung, dia turut berasa berat hati untuk meninggalkan ibunya yang sudah tua yang masih menetap di Kulim, Kedah.
Menurut laporan MStar, gadis ini pada awalnya menyatakan bahawa dia enggan menerima tawaran tersebut kerana terpaksa berjauhan dengan keluarganya.
“Ayah dah lama meninggal dunia dan tinggal ibu seorang diri saja di rumah sebab adik pun belajar jauh.
“Tapi sebab tanggungjawab sebagai pendidik, saya reda dengan tawaran… ini juga posting pertama saya selepas tamat belajar,” jelasnya.
Namun begitu setelah 10 bulan bersama dengan murid-murid pedalaman di sana, dia mengakui bahawa dia ternyata semakin gembira.
Berdasarkan video yang dimuat naik menerusi akaun TikToknya @neynosss, dia memaklumkan kepada anak-anak muridnya untuk membuat sambutan hari lahir dengan mengadakan jamuan makan bersama-sama.
“Iyalah, pertama kali berjauhan dengan keluarga, jadi saya berhasrat untuk membuat sambutan hari lahir dengan murid-murid sahaja dan minta mereka tidak membawa bekal.
“Jadi saya buat mi goreng sendiri dan bangun seawal pukul 4 pagi untuk memasak sebab sekolah tak ada kantin… lagipun di sini majoriti bukan Muslim.
“Saya cakap kepada murid nak buat makan-makan sempena hari lahir saya. Kemudian mereka tanya kena bawa apa-apa ke sebab hari jadi, tapi saya cakap terpulang kepada mereka,” terang Hasnina.
Apa yang lebih menarik, anak-anak muridnya memberikan pelbagai jenis hadiah sempena hari lahirnya yang ke-24 itu sebelum waktu makan bermula.
Dia juga tidak menyangka dia dapat menerima hadiah yang sebegitu banyak daripada anak-anak muridnya.
Hadiah paling menarik yang didapatinya ialah timun yang diberikan oleh salah seorang murid yang dikenali sebagai Noren.
“Kebanyakannya bagi lukisan selamat hari lahir yang dibalut guna kertas. Ada yang bagi keropok dan paling rare adalah limau kecil dan timun.
“Saya bertanya kepada Noren kenapa bagi timun dan dia cakap dah dapat izin keluarga untuk ambil hasil kebun sebagai hadiah kepada saya,” tambahnya lagi.
Hasnina meluahkan bahawa sebelum ini dia berasa agak terkilan kerana perlu mengajar subjek yang bukan bidang ‘major’-nya.
Walau bagaimanapun, kini perasaan itu berubah setelah 10 bulan bersama-sama mengajar mereka di sana.
“Perkara ni yang buat saya rasa sedih tapi sekarang dah jatuh hati dengan mereka ketika mengajar,” jelasnya dengan rasa gembira.
Menjengah di ruangan komen, warga netizen mengucapkan terima kasih kepada Hasnina kerana menjadi seorang pendidik yang baik terhadap anak-anak muridnya dan menyatakan bahawa ada hikmahnya dia dihantarkan untuk mengajar di negeri bumi kenyalang itu.
Antara komen netizen:
“The reason kenapa Allah hantar awak ke sana & kenapa tidak ke semenanjung. They need you more than we need you 🥺🥰”
“Masya-Allah! Tahniah ank muda mnjadi guru di kawasan pedalaman tp berjaya mbahagiakan jiwa ank2 murid 🌹 – drp YB Cikgu Rozainy”
Video yang tular: