Hidup berjiran ni memerlukan kita untuk bermuafakat, menghormati dan tidak menyusahkan antara satu sama lain.
Lihat sahaja lah di media sosial, ramai yang jiran yang bertekak dan bermasam muka gara-gara kucing yang dipelihara jiran menjadikan laman rumah sebagai tempat pembuangan najis.
Pun begitu, persis juga dengan isu tersebut, kali ini tular tentang seorang kanak-kanak diserang seekor anjing dipercayai milik jiran ketika membantu ibunya menghantar makanan mencuri perhatian ramai.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut cuba berlari ke rumahnya sebelum terjatuh di jalan dan diserang anjing berkenaan, dipercayai kepunyaan jiran.
Insiden itu berjaya dirakamkan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta seorang saksi yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.
Tindakan pemandu kereta itu membunyikan hon secara bertalu-talu bagi menakut-nakutkan anjing berkenaan akhirnya menyelamatkan mangsa daripada terus diserang, sebelum haiwan liar itu beredar.
Memetik laporan mStar, ibu kanak-kanak itu, Zuraidah Ibrahim berkata, kejadian tersebut telah berlalu hampir sebulan namun anaknya masih berada dalam keadaan trauma.
“Sejak kejadian, anak tak nak keluar sendiri lagi. Masa tu saya minta dia buat COD (penghantaran tunai), ada jiran lain beli makanan. Mungkin anjing tu nampak dia bawa makanan.”
“Kadang-kadang dia mengigau masa tidur malam. Anak terpekik minta tolong macam masa kejadian,” katanya
Mengimbas kembali mengenai kejadian, wanita berusia 38 tahun itu tanpa berfikir panjang terus bergegas membawa anaknya yang mengalami luka ke klinik.
“Tapi dua klinik tak nak buat sebab lukanya agak besar dan dalam. Jadi, saya terus bawa anak ke hospital dekat Kempas untuk rawatan lanjut.
“Anak terpaksa dimasukkan ke wad sebab kalau ikut video tu, anak jatuh terhentak. Doktor bimbang jika ada keretakan tulang,” katanya sambil memberitahu bahawa anaknya terlantar di hospital selama tiga hari.
Selepas diperiksa, Zuraidah yang dikenali sebagai Kak Omel bersyukur apabila dimaklumkan tiada perkara yang serius berlaku seperti tulang retak atau patah pada anaknya.
“Cuma ada luka di kedua-kedua lutut akibat terjatuh, sedikit di tangan kesan cakaran, dan belakang badan ada kesan benam kuku,” katanya sambil menambah kejadian itu mendapat perhatian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) susulan rakaman video yang tular.
“Dah tahu salah, datanglah berjumpa minta maaf. (Sebaliknya) dia cakap bukan anak you mati pun kan! Biadab tak? Dia kata anjingnya bukan serang tapi sekadar bergurau, bermain.”
“Kepada semua penduduk yang berjiwa Malaysia, minta hormat. Kalau nak bela anjing, pastikan ada lesen dan anjing tak mengganggu jiran lain.”
“Sebab tinggal di kawasan perumahan ni, ramai kanak-kanak. Keselamatan mereka agak berbahaya sekiranya ada insan yang tak bertanggungjawab macam ni,” katanya.
Bagaimanapun, Zuraidah berterima kasih kepada pemandu yang merakamkan kejadian yang juga merupakan pelanggannya.
“Pelanggan tu baru lepas beli kuih masa tu. Kalau dia tak hon, anjing tu mungkin lebih mengganas. Tapi jangan salah faham kenapa dia tak turun tolong.”
“Pelanggan saya tu warga emas, baru je balik dari buat dialisis di hospital. Itu saja yang dia mampu tolong. Kena faham dia orang tua dan sakit,” katanya.
Video yang tular: