Empat hari lalu, kita dikejutkan dengan kehadiran Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk memfailkan perceraian.
Sarah kelihatan ceria dan bersemangat, enggan bersedih lagi setelah kemelut rumah tangga yang melandanya sejak beberapa tahun lepas lagi.
Nama pelakon ini kembali menjadi bualan hangat warganet selepas dia berkongsi momen sewaktu pergi ke konsert sulung pertama penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan di Malaysia, semalam.
Gambar swafoto bersama pelakon drama Andai Itu Takdirnya bersama penyanyi MK K-Clique atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan pula mencuri perhatian ramai.
Menerusi hantaran yang dibuat di laman Instagram, aktres berusia 38 tahun itu kelihatan tersenyum manis dengan busana serba hitam di samping MK yang turut tersenyum sehingga menampakkan gigi putihnya.
Pelbagai respons yang diberikan oleh warganet berkenaan entri berkenaan. Ada yang suka, namun tak kurang juga yang ‘bitter’ dengan mengaitkan status rumah tangganya dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof yang baru sahaja menikahi anak pelakon veteran Kazar Saisi, Ira Kazar.
Warganet mengatakan kemesraan dan kebahagiaan yang ditunjukkan oleh aktres tersebut patut dibalas dengan kecurangan Syamsul dan mencari wanita lain.
Dalam pada itu, ada yang menasihati Puteri Sarah agar tidak mencari masalah sehingga boleh merosakkan hubungan MK bersama teman wanitanya.
Bukan itu sahaja, pemilik akaun palsu turut menambah minyak dalam api dengan mengatakan Puteri Sarah juga seorang ‘penyondol’ dalam perhubungan seseorang.
Enggan berdiam diri, Puteri Sarah tampil bersuara dan membidas semula kenyataan berbaur fitnah berkenaan dengan memaklumkan ibunya, pembantu peribadi dan pengurusnya turut ada bersama sewaktu bergambar bersama MK.
Sehingga kini, gambar yang dimuat naiknya malam semalam berjaya mencecah sehingga 144, 581 likes!
Hantaran yang tular di laman Instagram