Alangkah seronoknya jika ada hubungan yang akrab antara ibu dan anak seperti ‘bestie’?
Sama seperti kisah yang tular baru-baru ini di laman TikTok mengenai telatah dua anak beranak yang sedang rancak berbual di dalam kereta mengenai keputusan peperiksaan si anak sehinggakan menjadi buah mulut orang ramai.
Dengan bualan mereka yang berunsurkan loghat Utara, aksi dua beranak yang rapat ini dapat dilihat seakan-akan seperti ‘bestfriend’ sahaja apabila berborak.
Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh @k_mirahali itu, dia terlihat sangat teruja mengajukan soalan kepada anak perempuannya itu mengenai keputusan peperiksaan Kelas Agama Fardu Ain (Kafa).
Kelihatan anaknya itu juga memberikan reaksi yang sama seperti ibunya.
Bukan itu sahaja, dia turut kelihatan tidak sabar untuk berkongsikan keputusan cemerlang setiap mata pelajaran untuk ditunjukkan kepada ibunya itu.
Menerusi laporan MStar, Siti Amirah Mohd Ali menyatakan bahawa hubungannya bersama anak perempuan, Nur Zahira Liyana atau lebih mesra disapa sebagai Yayang, sememangnya akrab lebih-lebih lagi Zahira merupakan satu-satunya anak tunggalnya.
“Saya tinggal di rumah ibu di Kuala Nerang, Kedah buat masa ini selepas arwah ayah meninggal dunia, manakala suami bekerja di Sungai Buloh, Selangor.
“Di rumah ini ada kami dua beranak, ibu saya iaitu Maktok kepada Yayang, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Ibu dan adik-adik saya memang suka melayan Yayang.
“Disebabkan itu, pertuturan Yayang kelihatan agak matang kerana sudah terbiasa bersembang dengan orang yang lebih tua daripadanya,” ceritanya mengenai anak perempuannya itu.
Difahamkan, anak perempuannya yang berusia sembilan tahun itu telah mula dihantar ke taman asuhan seawal usia tiga tahun setengah.
Hal ini disebabkan dia sudah pun menunjukkan minat untuk pergi ke sekolah.
“Sampailah sekarang dia suka pergi sekolah walaupun demam. Hanya kalau dapat cuti sakit daripada doktor barulah dia tak pergi.
“Dekat sekolah, Yayang seorang murid yang aktif dalam bidang ko-kurukulum selain dilantik sebagai ketua kelas.
“Bercakap mengenai perwatakan Yayang, dia merupakan seorang yang talkative (rancak bercakap) dan seorang yang sangat penyayang terutama dengan orang yang rapat dengannya,” terangnya lagi.
Apabila ditanya mengenai pendekatan dalam mendidik anak tunggalnya itu sehingga meraih perhatian ramai, Siti Amirah menjelaskan bahawa dia lebih gemar melayan anak-anak seperti kawan karibnya sendiri.
“Saya suka buat dia jadi kawan. Setiap kali menjemputnya pulang, saya memang tanya apa aktiviti seharian dia. Dari situ kita tahu dia buat apa, dia belajar apa, dengan siapa dia berkawan dan lain-lain.
“Dengan anak kita tak boleh diam, kena berinteraksi. Bila kita dengar apa yang mereka cakap, mereka lagi seronok nak bercerita.
“Saya beri dia main telefon bimbit, tapi bila musim periksa, saya bertegas dan ambil telefon bimbit.
“Saya akan duduk dengan dia study sama-sama. Sebab itu saya excited nak tahu keputusannya, sebab kami study bersama,” katanya sambil menambah, keputusan akademik Yayang di sekolah rendah juga agak cemerlang.
Tidak menyangka perkongsiannya itu meraih perhatian ramai warganet, Siti Amirah menyatakan bahawa dia sekadar mahu merakamkan momen manis bersama anaknya itu sahaja.
“Bila baca komen, ramai yang tumpang seronok tengok kami macam kawan. Saya pernah bekerja sebelum ini, masa tak banyak untuk anak. Sekarang dah jadi suri rumah, saya mahu manfaatkan masa dengan dia.
“Zaman sekarang bukan macam dulu. Kita kena pantau anak-anak sebab dunia makin canggih.
“Kena seimbang… dalam bertegas, kita dalam masa yang sama kena masuk dunia mereka. Jadi mereka tak rasa ada jurang dan secara tak langsung anggap kita BFF. Namun dalam masa yang sama, dia tahu batas sebagai seorang sebagai anak,” luahnya.
Video TikTok yang tular: