Siapa sahaja yang tidak terliur apabila melihat beraneka jenis makanan dipamerkan di hadapan kita bukan?
Namun begitu, sebagai pembeli kita haruslah lebih berhati-hati agar makanan yang dibeli itu harganya berpatutan, dan bukannya harus dibayar dengan harga yang tidak masuk akal.
Begitulah kisah baru-baru ini yang tular mengisahkan mengenai sebuah restoran makanan yang mengaku tersalah kira bil sehingga ianya mencecah lebih RM 100 telah meraih perhatian ramai.
Berdasarkan laporan MStar, seorang pelanggan berkongsikan pengalamannya ke sebuah restoran yang terkenal dengan pelbagai jenis lauk dan sayur-sayuran di Kuala Lumpur menerusi hantarannya di media sosial.
Pelanggan tersebut menasihatkan orang ramai agar memeriksa terlebih dahulu jumlah bil sebelum melakukan pembayaran di restoran tersebut.
“Hari ni untuk tiga orang… Jumlah bil ‘mengerikan’ RM129 yang tidak masuk akal sama sekali.
“Setelah dikira semula bil yang diperincikan adalah RM75,” tulisnya dalam hantarannya itu.
Difahamkan, dia juga mendakwa bahawa restoran tersebut ‘sengaja’ menaikkan harga bil kerana pihak mereka tahu kebiasaannya pelanggan tidak menyemak bil mereka.
“Terlebih hampir RM60. Tidak bertanggungjawab untuk cuba mengenakan bayaran berlebihan kepada pelanggan perlu dihentikan,” katanya.
Ekoran hantaran yang tular itu, pihak restoran berkenaan iaitu Restoran Sambal Hijau tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kes ‘salah kira’ seperti yang telah didakwa terhadap mereka.
“Berkenaan kes salah kira ni memang betul, sebab tu kami letak tanda harga siap-siap dan pentingkan buat itemised billing, jika berlaku salah harga dan silap pengiraan boleh diperbetulkan.
“Jika sesiapa yang biasa datang makan memang tahulah macam mana ramainya pelanggan tambah-tambah lagi pada hujung minggu dan cuti umum.
“Kadang-kadang kalau dah kelam-kabut staf yang kira tu terlupa pesanan pengurusan minta kira dua-tiga kali sebelum serahkan bil,” tulisnya menerusi kenyataannya di laman Facebook rasmi Restoran Sambal Hijau.
Walaupun demikian, pihak restoran tersebut turut memohon maaf atas kecuaian mereka yang menyebabkan kejadian itu boleh berlaku.
“Tapi itulah… semalam ramai sangat, staf tu pun dah mengaku salah. Kami pun minta maaf sebab kesilapan ini,” terangnya lagi.
Bagaimanapun, restoran itu menafikan dakwaan bahawa mereka sengaja menaikkan bil pelanggan.
“Posting dia bagus dah sebab minta pelanggan pastikan dulu bil baru bayar cuma ayat ‘purposely inflated the bill’ (sengaja menaikkan bil) tu memang jelas fitnah.
“Apa pun kami mohon maaf sekali lagi,” ulasnya lanjut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet menyarankan agar pelanggan menyemak bil terlebih dahulu sebelum melakukan pembayaran, dan isu tersebut tidak harus ditularkan kerana boleh sahaja diselesaikan dengan pihak restoran terbabit.
Antara komen netizen:
“Alhamdulillah lauk mmg puas hati sedap. Jika ade kesalahan pada resit sila bertanya semula.”
“Bertahun makan di sini, harga dipapar jelas, kalau ragu2, mintalah kira semula”
Hantaran Facebook terbabit: