Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran yang pertama menurut kalendar Islam buat si comel Aafiyah, anak kepada penyanyi nombor 1 negara, Siti Nurhaliza.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Tok Ti memuatnaik gambar bersama Aafiyah dengan kapsyen mendoakan anaknya yang comel itu.
“Alhamdullillah.. 1 Rejab Aafiyah di lahirkan ..1 Tahun sudah usia mu sayang.. Doa ibu Aafiyah menjadi anak yang berjaya dunia & akhirat .. Allah SWT kurniakan ‘Aafiyah’ buat anakku sayang..”
Rata-rata para peminat memuji kecomelan Aafiyah dan mendoakan semoga aafiyah membesar menjadi anak yang solehah.
Mengimbau kembali, bukan mudah perjalan Tok Ti untuk mendapatkan cahaya matanya ini.
Siti Nurhaliza mengakui menjalani rawatan kesuburan IVF dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Siti berkata, itu adalah percubaan ketiga dilakukannya sepanjang tempoh 11 tahun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
“Saya okay untuk berkongsi. Kenapa perlu ada rasa malu? Ini kerana ramai lagi yang senasib dengan saya. Malah, ada yang lebih lama. Saya ingin berkongsi dengan wanita lain.
“Namun, dua tahun lalu, saya hamil normal tetapi keguguuran ketika kandungan berusia dua bulan.
“Memikirkan usia yang kian meningkat, saya perlu kejar masa. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan IVF buat kali ketiga. Alhamdulillah, Allah SWT berikan rezeki ini,” katanya.
Siti berkata, sepanjang menjalani rawwatan itu dia terpaksa duduk dalam bilik selama tiga bulan dan dinasihatkan supaya tidak banyak berjalan.
“Saya disahkan hamil selepas Aidilfitri lalu. Disebabkan itu, saya perlu fokus dan perlu banyak berehat.
“Selain itu, proses rawatan ini ada banyak peringkat. Sepanjang tiga bulan saya hanya duduk dalam bilik.
“Sehinggakan kalau nak turun naik tangga, suami dukung atau angkat menggunakan kerusi roda. Saya dinasihatkan supaya tidak terlalu banyak bergerak.
“Alhamdulillah, sekarang saya memasuki peringkat kedua kehamilan. Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berdoa semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.
Siti turut berkongsi bahawa dirinya dalam proses membuka pusat rawatan kesuburan IVF bawah Yayasan Nur Jiwa.
Pusat rawatan ini akan beroperasi dengan kerjasama Doktor Collin iaitu pakar perubatan yang membantunya menjalani proses IVF.
“Pusat rawatan ini untuk memberi peluang kepada wanita yang mengalami nasib macam saya mencuba rawatan ini pada kadar termampu.
“Insya-Allah, kami masih dalam proses perlaksanaan dan dijangka dibuka pada awal tahun depan,” katanya.