Seperti yang kita sedia tahu, jarang kaum perempuan minat melakukan kerja-kerja berat yang selalunya dilakukan oleh lelaki.
Lagi-lagi bagi mereka yang berpelajaran serta mempunyai kelulusan untuk mendapatkan kerja bersesuaian dengan bidang.
Baru-baru ini, kisah seorang gadis bertubuh kecil molek dan kurus menjadi tumpuan warga maya apabila berkongsi videonya mengangkat karpet pelanggan yang sudah dicuci.
Menurut gadis bernama Afiqah Yusof itu, dia akui sudah biasa mendapat reaksi ragu-ragu oleh pelanggan apabila melihat dia mengambil dan menghantar karpet.
Jelas Afiqah, dia menolong abangnya mengusahakan perkhidmatan cucian karpet sejak hampir lima tahun lalu di Anak Ibu Multi Services, Subang Bestari, Shah Alam.
“Bisnes ini bermula pada 2019 dan ia adalah idea abang saya, Amir Yusof. Kiranya bisnes keluarga. Ketika itu saya baru tamat pengajian peringkat diploma.
“Pada mulanya saya tolong sikit-sikit saja, iaitu mempromosikan bisnes, pemasaran dan bungkus karpet.
“Kemudian saya rajin ikut abang pergi rumah pelanggan dan saja-saja cuba belajar handle mesin untuk cuci karpet. Mula-mula memang susah nak handle tapi lama-lama saya rasa okay pula.
“Apabila tiba musim perayaan, servis ini mendapat sambutan hangat jadi abang tak menang tangan juga. Bertitik tolak daripada situ, saya terus membantu hingga sekarang,” ujar gadis berusia 24 tahun ini.
Bisnes ini turut menyediakan perkhidmatan cucian sofa, tilam dan kerusi kereta, beroperasi dari rumah.
Afiqah berkata dia sudah terbiasa mengangkat karpet yang berat seorang diri apabila perlu membahagikan tugas dengan abangnya.
“Kami belum mampu gajikan pekerja tetap. Tapi saya melakukan tugas yang saya mampu mengikut kudrat. Yang tak mampu, pekerja lelaki part-time yang akan handle.
“Pernah juga berdepan dengan insiden lucu. Apabila saya sampai rumah pelanggan nak hantar karpet yang sudah dicuci, dia terkejut tengok saya angkat… terus dipanggil anak-anaknya membantu.
“Letih tu benda biasa, tambah-tambah lagi musim perayaan ramai orang hantar karpet. Saya pun dah pernah cuba macam-macam kerja sebelum ini… jaga anak orang, taska, cleaner. Saya cuba apa sahaja yang berikan sumber pendapatan. Inilah sumber rezeki.
“Orang kata bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian,” ujar anak bongsu daripada tiga adik beradik ini.
Susulan videonya yang tular di Twitter, rata-rata teruja melihat kegigihan Afiqah serta memberikan semangat kepadanya.
Berikut antara komen-komen yang diberikan oleh netizen di TikTok
Video yang tular di laman Twitter