Demi Keselamatan Awam, Hanya Sebiji Kurma dan Sebotol Air Juadah Berbuka Puasa
Dalam kita mengejar waktu untuk pulang ke rumah selepas seharian bekerja, jangan kita terlupa pengorbanan dan jasa polis trafik.
Mereka inilah yang memastikan kelancaran perjalanan kita untuk pulang berbuka puasa bersama insan tersayang.
Dengan hanya sebotol kecil air mineral dan sebiji kurma menjadi juadah berbuka puasa, anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) setia memastikan keadaan lalu lintas terkawal.
Malah, sebaik saja mereka selesai berbuka puasa di tepi jalan raya, pasukan terbabit bergegas kembali meneruskan tugasan.
Demi memastikan keadaan lalu lintas terkawal sepenuhnya, mereka korbankan masa dengan berbuka sekadar mengalas perut.
Menurut laporan HMetro, pengorbanan pasukan keselamatan itu rutin harian mereka sebelum menikmati juadah sebenar jam 9 malam selepas tamat bertugas.
Seramai 15 hingga 20 anggota ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota, kata Pegawai Turus Kawalan Lalulintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Superintendan Zamri Basiran.
Katanya lagi, keadaan trafik pada Ramadan cepat sesak dan penyuraian trafik perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kesesakan.
Waktu puncak bermula jam 5.30 petang hingga jam 9 malam, disebabkan itu anggota dan pegawai bertugas hanya berbuka puasa di tepi jalan.
Zamri menambah, perkara itu sudah menjadi tanggungjawab setiap anggota polis trafik demi memastikan lalu lintas dalam keadaan lancar dan terkawal tanpa mengira masa.
Baginya, puasa bukan halangan untuk anggota bertugas tidak kira sama ada panas atau hujan lebat.
Sementara itu, Penyelia Kawalan Lalulintas JSPT Kuala Lumpur Koperal Tengku Ismail Tengku Ibrahim berkata, tugasannya bermula jam 1 tengah hari hingga jam 9 malam.
Katanya ketika masuk waktu berbuka, anggota perlu berhenti dan menjamah sedikit makanan sebelum meneruskan tugas penyuraian trafik.
Malah, merka hanya akan mula makan pada jam 9 malam, ketika itu barulah mereka makan nasi dan makanan berat yang lain.
“Kami sudah biasa malah ini tanggungjawab kami kepada masyarakat,” katanya.
Semoga pengorbanan yang dilakukan oleh anggota trafik ini dihargai oleh orang awam dan juga semoga semua amalan mereka diberkati.