Kerjaya merupakan titik tolak dalam penentuan hidup seseorang. Seperti yang kita tahu, ramai warga Malaysia terutamanya anak muda berhijrah ke kota untuk mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik.
Seperti baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan bahawa penghijrahan anak muda ke kota bukan sahaja berlaku di Kelantan malah di seluruh dunia sekalipun.
Secara tidak langsung, menidakkan kenyataan yang tercetus iaitu kegagalan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang kerja sehingga menyebabkan anak-anak muda Kelantan lebih memilih untuk berhijrah ke bandar untuk bekerja.
“Sifat orang Kelantan, terutama anak muda, memang suka merantau sama ada untuk mencari kerja atau apa saja aktiviti. Itu tidak boleh dinafikan.
“Keluar dari negeri untuk bekerja bukan berlaku di Kelantan saja tetapi juga di seluruh dunia. Malah, beberapa bulan lalu, ada laporan bahawa kajian mendapati kira-kira 500,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara, jadi hendak kait macam mana itu?
“Ada banyak peluang pekerjaan tetapi anak Kelantan lebih suka berada di luar (Kelantan)… mungkin rasa tidak ‘glamor’, ada juga yang memilih kerja,” ulas Mohd Amar.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Mohd Amar waktu menghadirkan diri ke Majlis Makan Malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, di sini, malam tadi.
Selain daripada itu, Mohd Amar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri masih kekal dengan dasar tidak membenarkan pembukaan pawagam di Kelantan.
Namun begitu, dasar itu kemungkinan akan berubah pada masa hadapan, bergantung pada perubahan semasa atau keperluan di negeri tersebut.
“Ini kerana dasar boleh berubah. Masa Tok Guru (bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dulu, perempuan tidak boleh masuk bertanding musabaqah… (tetapi) selepas beberapa tahun, boleh pula.
“Lagipun, isu pawagam menjadi besar selepas fenomena (filem) Mat Kilau saja. Habis fenomena itu, tidak ada apa-apa,” ulasnya lagi berkenaan isu pembukaan pawagam di negeri Kelantan.
Sekadar Info, terdahulu Mohd Amar juga pernah meluahkan kepuasan hatinya apabila Negeri Kelantan merupakan antara negeri yang bahagia susulan negeri serambi Mekah tersebut menduduki tempat ke lima dengan meraih markah 7.0 berdasarkan laporan MHI 2021.