Connect with us

Semasa

“Ada suara panggil namanya ke sungai itu..” Hilang Seminggu, Gadis Ditemui Bergantung di Akar Pokok

Seorang pelajar Politeknik yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui bergantung di akar pokok di dalam sungai di kawasan bukit Felcra Kruak, Jertih, Terengganu, pada Selasa.

Hanis Syamimi Yusoff, 20, ditemui penduduk kampung selepas usaha mencarinya dilakukan apabila menemui motosikal dinaikinya terlekat di dalam selut di kawasan bukit berkenaan, lapor Harian Metro.

Keluar rumah sejak 13 Mei

Ibunya, Nasarah Mohammad, 55, melaporkan kehilangan Hanis apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 8 pagi, 13 Mei lalu.

Kisah kehilangan Hanis mula tular apabila keluarga gagal menjejaki Hanis di semua tempat termasuk sekitar bandar Pasir Puteh.

Menurut kenyataan sepupunya, Mohd Hafiz Zahari, 35, selepas tular kisah kehilangan Hanis, ada individu yang memberi maklumat terlihat motosikal ditunggang gadis itu tersadai di dalam selut di dalam bukit Felcra Kruak kira-kira 55 kilometer dari rumahnya.

Katanya, hasil laporan itu, dia dan ahli keluarga serta penduduk Felcra bersama anggota polis bekerjasama mencari Hanis di kawasan motosikal dia ditemui.

“Pada 3 petang Selasa lalu, saya keluar dari bukit itu untuk ke Balai Polis Pasir Akar bagi melaporkan kejadian memandangkan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bergantung di akar pokok

“Ketika itulah saya terima panggilan daripada polis menyatakan Hanis berjaya ditemui bergantung di akar pokok di tengah sungai dengan keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya ketika ditemui di Kampung Guntong, Pasir Puteh, malam ini.

Hanis memberitahu sepanjang seminggu hilang, dia hanya makan sepinggan nasi goreng yang diberikan penduduk kampung, namun enggan keluar dari sungai walaupun sudah dipujuk penduduk.

Malah, polis mengambil masa untuk memujuk Hanis keluar dan menyeberang sungai.

Ada suara memanggil

Hanis juga memberitahu keluarganya dia ada mendengar suara memanggilnya untuk ke sungai tersebut.

“Dia beritahu keluarga, ada orang memanggil namanya untuk ke sungai itu walhal dia tidak pernah sampai ke sana dan keluarga percaya dia berada di situ selepas motosikalnya tersangkut di dalam selut.

“Sepupu saya mengalami kemurunngan dan beberapa hari sebelum hilang dia dilihat sering bercakap seorang diri,” katanya.

Menurutnya, Hanis adalah anak tunggal kepada Nasarah dan sedang belajar semester dua dalam pengajian Seni Digital di Politeknik Arau, Perlis.

Katanya, Hanis pulang ke kampung pada 30 April lalu selepas PKP akibat Covid-19.

Kehilangan ayah sejak 2008

Hanis yang tinggal berdua bersama ibunya juga adalah anak yatim yang kehilangan bapa sejak 2008 dan hanya mengharapkan wang pencen arwah bapa bagi menampung kehidupan mereka berdua.

Nasarah juga memberitahu, Hanis mengalami masalah emosi sejak di Tingkatan Lima dan kurang bersosial kerana merasa rendah diri.

Malah menurut Nasarah, dia banyak meluahkan perasaan di WhatsApp status dan gemar meluangkan masa dengan melukis.

Walau bagaimanapun, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana anaknya itu ditemui dengan selamat.

“Saya bersyukur kerana dia berjaya ditemui dalam keadaan selamat sebelum sambutan Aidilfitri, Ahad ini.”

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.