Connect with us

Viral

“Ada yang kata jijik,” Anak Bawa Balik Sisa Makanan Kedai Makan Buat Ibu Gembira

Pembaziran adalah satu amalan yang perlu dielakkan dalam kehidupan malah setiap manusia mempunyai caranya yang tersendiri untuk menghindarkan diri daripada pembaziran terutamanya yang melibatkan makanan.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini di mana seorang wanita yang berasal dari Sungkai, Perak dikenali sebagai Masieta juga seorang ibu memaparkan betapa bersyukurnya dia apabila Mohd Norshahzul Amin, 18 membawa pulang sisa makanan untuk dimakan.

Memetik laporan mStar, lebihan makanan yang mahu dibuang itu merupakan beberapa keping daging kambing salai masak lemak cili api yang dipenuhi bahan hampas masakan sahaja.

“Kejadian ni berlaku tiga hingga empat hari sebelum puasa. Anak saya (Amin) tu memang kerja dekat sebuah restoran di Sungkai sebelum tutup sepanjang bulan puasa nanti. Dia kerja sementara saja untuk cari duit sambil nak tunggu sambung belajar lepas SPM.”

“Biasanya anak saya masuk kerja awal sikit pukul 4.30 petang kalau hari Isnin hingga Jumaat untuk cuci periuk belanga dan bekas-bekas lauk. Kerja dia buat ni kadang-kadang seorang dan adakalanya berdua.”

“Masa tu rakan sekerja Amin nak buang sisa makanan mungkin sebab kelihatan seperti daging hancur saja yang tinggal.

“Apabila anak saya nampak, terus dia capai plastik dan tuang lauk tadi untuk dibawa pulang,” imbas Masieta menceritakan semula kejadian tersebut.


Jelas ibu kepada enam orang anak ini, dia selalu mengingatkan kepada Amin yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu supaya tidak membuang sisa makanan, sebaliknya membawa pulang lebihan itu.

“Amin tahu saya mesti suka apabila dia bawa balik segala jenis lauk-lauk tak habis ni. Masa dia hulur tu saya ingat gulai lemak pucuk paku rupa-rupanya kambing salai masak lemak cili api.”

“Memang saya suka sangat walaupun cuma tinggal beberapa keping hirisan daging saja. Bukan apa, kalau nak beli sendiri memang mahal lepas tu mesti dapat sikit saja.”

“Anak-anak saya pula ramai nak makan jadi memang tak cukup. Itu yang buatkan saya terharu apabila Amin bawa balik satu plastik tu walaupun lebih banyak kuah berbanding dagingnya. Saya pernah makan lauk ni, memang sedap sangat,” katanya.


Tidak kisah jika makanan tersebut basi sekalipun, wanita ini tetap akan meminta anaknya membawa balik makanan tersebut.

“Saya selalu pesan pada Amin, kalau ada makanan lebih dekat tempat kerja tu jangan buang tapi bawa balik.

“Kalau makanan tu contohnya kari daging atau ayam yang sudah basi, saya akan basuh semula dan guna dagingnya untuk dimasak semula atau beri pada kucing.”

“Bagi sesetengah orang memang nampak jijik tapi itulah realiti. Kalau boleh sedaya upaya tak nak membazir.

“Saya paling sedih apabila tengok orang buat content buang makanan dekat media sosial,” ujarnya yang suka bercucuk tanam di rumah.”

Video yang tular di laman TikTok:

@mas.ita Balas kepada @jambree anak bila dekat marah2,bila jauh rindu2#tiktokguru #tiktoktips #fypシ #anak ♬ Sedih – Instrumental – Asraf Studio


“Amin seorang anak yang rajin bantu ibu bapa. Dia suka cari pengalaman melakukan pelbagai kerja sampai boleh beli motosikal menggunakan hasil duit kerja sendiri. Sebelum ini dia juga pernah kerja jadi tukang sapu.”

“Bagi saya kita kena banyak nasihatkan anak-anak tanpa jemu. Tambahan pula apabila meningkat remaja, banyak dugaan tapi InshaAllah walau di mana dia berada, dia akan ingat dekat mak ayah yang selalu nasihat kan dia.”

“Bersempena Ramadan ni kita kena banyakkan bersedekah. Sekiranya makanan tu berlebihan dan masih elok boleh sedekah pada jiran atau binatang peliharaan.

“Kalau sudah basi boleh buang dan tak perlu buat content masa nak buang makanan. Kalau boleh elak fitnah kita elak,” ujar Masieta menutupi kisahnya.

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah pun meraih 329.6K tontonan, 25.1K tanda suka, 127 komen dan 96 perkongsian di applikasi TikTok.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.