Semalam tular satu kisah kegigihan seorang pemuda lelaki menjadi penghantar makanan dengan menggunakan basikal demi mencari rezeki yang halal.
Menerusi perkongsian Steven Sim Chee Keong yang merupakan ahli parlimen Bukit Mertajam di akaun Facebook miliknya baru-baru ini, dia telah berjumpa dengan seorang rider foodpanda tersebut bagi mengetahui cerita sebenar di sebalik kecekalan lelaki itu.
Pemuda berkenaan yang dikenali sebagai Mohamad berkata, dia menaiki basikal kerana tidak mempunyai motosikal seperti orang lain.
Walau bagaimanapun, basikal yang dinaiki olehnya itu merupakan basikal kawannya yang dipinjam.
Pemuda yang berusia 22 tahun ini sanggup merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang demi mencari rezeki yang halal.
Dengan hanya bergaji sebanyak Rm500, dia tidak merungut malah rasa bersyukur dengan rezeki yang ada walaupun duit hendak makan tidak mencukupi.
Atas ehsan kawannya, dia tidak perlu membayar duit sewa bilik. Ada kalanya, dia hanya makan nasi lemak setiap hari kerana hendak berjimat.
Menurut Steven, dia melihat kedua-dua belah tangan adik Mohamad ini sudah ‘sunburn’ akibat bekerja lama di bawah matahari mengayuh basikal.
Ahli parlimen terbabit telah membawanya ke kedai motosikal berhampiran dan menghadiahkan sebuah motosikal untuk kegunaan remaja tadi.
Dia juga mendoakan agar motosikal yang diberi oleh dirinya itu dapat membantu pemuda tersebut dalam perjuangan hidup.
Perkongsian Steven Sim Chee Keong di Facebook beliau
Hari ini Ramadan pertama. Saya ditemukan dengan seorang rider food panda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan.
Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.
Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motorsikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motorsikal.
Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia dan banyak yang dah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.
Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik.
Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Poli, dengan keputusan cemerlang.
Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, nak makan pun tak cukup, sewa bilik dia tak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada.
Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20-30 sehari, cukup makan beberapa kali.
Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab nak jimat duit. Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari.
Mata masuk habuk mendengar kisah adik Mohamad. Walaupun saya hormat Tun Dr Mahathir, saya dari dulu lagi tak setuju dengan stereotype Tun yang kata Cina kaya, Melayu malas.
Ramai Cina yang bergelut demi mencari makan, ramai anak Melayu seperti adik Mohamad yang rajin berusaha demi kehidupan.
Bila saya tanya adik Mohamad apa pertolongan yang diperlukan, dia segan nak jawab.
Beginilah, saya tak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya bulan Ramadan ini banyak berkat.
Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan adik Mohamad sebiji motor. Asalnya adik Mohamad macam tak percaya.
Tapi bila saya bawa ke kedai motor kat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda. Saya bayar cash. Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya nak habaq saya tak ada peruntukan nak guna.
Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang. Ini saya beli guna wang gaji saya sendiri. RM4,500 termasuk road tax, insurans, settle penuh, minyak isi full tank, adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tak payah bimbang.
Bolehlah adik naik motor ke kerja (sekarang dia tumpang motor kawan) dan jika jadi rider, tak payah susah susah kayuh basikal. Usah risau lagi hujung Ramadan macam mana nak balik Kelantan jumpa mak ayah – kuda sudah ada.
Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim sunblock. Saya peringat adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat food panda. Kita perlu jaga kesihatan diri.
Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang. Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup.
Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap! Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.
Iftar pertama tahun ini, saya buka puasa bersama adik Mohamad. Walaupun berjauhan dari keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya.