Kehilangan ketua keluarga iaitu insan bergelar bapa pastinya meninggalkan luka di hati. Lagi-lagi bagi kanak-kanak yang sedang membesar dan memerlukan kasih sayang seorang ayah.
Selain anak-anak, isteri turut terkesan dari segi emosinya. Lebih kasihan lagi apabila mereka harus membesarkan anak sebagai ibu tunggal tanpa suami di sisi.
Persis kisah seorang wanita di mana dua orang anaknya menangis pada waktu malam gara-gara tidak dapat menahan rindu terhadap arwah ayah mereka.
Menerusi video oleh Nur Ain Atiqah Zaini di TikTok, anak perempuannya Nur Syazkhalisha Amanda, 3 menzahirkan keinginan untuk melawat ke kubur ayahnya.
Si abang pula, Muhammad Syazkhalish Amsyar, 6, cuba untuk tidur sambil ditemani baju arwah selepas dipujuk ibunya.
Menurut wanita berusia 27 itu, suaminya, Syawal Ahmad Basari meninggal dunia pada 26 April 2022, lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Arwah meninggal ketika penghujung Ramadan tahun lepas. Dia merupakan pemandu lori. Arwah terbabas dekat Kuala Lipis. Dalam pukul 10 pagi, bos dia yang maklumkan mengenai kemalangan kepada saya.
“Saya hubungi semua hospital kawasan sana tapi tiada jawapan. Akhirnya saya hubungi balai polis, baru dapat tahu suami dah meninggal. Arwah akhirnya dikebumikan di kampungnya di Tapah, Perak,” ujarnya yang menetap di Sri Kembangan, Selangor.
Atiqah atau mesra disapa Ika berkata anak bongsunya, turut dipanggil Cha kerap menangis kebelakangan ini kerana terlalu merindukan arwah.
“Sebelum ni dia tak macam tu. Tapi kebelakangan ini anak bongsu saya kerap menangis. Hari-hari dia menangis nak pergi ke kubur. Kali terakhir kami ziarah kubur pada Disember tahun lepas. Kubur di Tapah. Kami pula di Sri Kembangan.
“Masa dia menangis hari tu, saya rakam video. Kebetulan Cha sebut nak pergi kubur. Pada masa sama, si abang pula ambil baju arwah buat peluk. Baju tu arwah selalu pakai.
“Saya saja la kongsi video tu. Tak sangka viral. Tapi bila baca komen-komen netizen, saya jadi lagi sedih sebab ramai rupanya yang senasib dengan kami,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2016.
Ika akui kehidupannya berubah selepas kematian suami memandangkan dirinya hanyalah suri rumah sepenuh masa. Lebih pilu, Ika juga berdepan masalah kesihatan mental susulan kejadian dalam hidupnya itu.
“Lepas suami meninggal, hidup kami berubah sangat-sangat. Sebelum ini saya tak kerja, saya hanya suri rumah. Bila dia dah tak ada, saya bekerja sebagai admin, anak pula hantar kepada pengasuh.
“Tapi saya dah berhenti kerja. Saya ada masalah kesihatan sikit. Saya kena anxiety dan depresi sehingga kena rujuk psikiatri. Sekarang saya bergantung kepada ubat. Kalau tak, saya akan jadi stres dengar anak menangis.
“Saya juga pernah tak boleh tidur sampai tiga hari. Jadi shaking tak boleh tidur sampai kena makan ubat tidur. Kalau tak, otak saya akan terus berfikir.
“Sekarang kami hanya bergantung kepada duit Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dapat RM1,700 sebulan,” kata Ika yang merancang untuk kembali bekerja tidak lama lagi.
Mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Ika memberi bayangan bahawa mereka sekeluarga akan melalui situasi sama seperti Hari Raya tahun lalu.
“Raya tahun lepas, kami langsung tak buat persiapan apa-apa. Arwah meninggal lima hari sebelum raya. Sepatutnya kami nak pergi beli-belah dengannya. Tapi tak sempat.
“Dia meninggal ketika trip kerja terakhir sebelum cuti raya. Memang dah rancang nak keluar membeli selepas dia pulang. Raya tahun ni pun saya tak tahu lagi macam mana,” katanya sebak.
Video yang tular di laman TikTok
@ieykaazaini_Mmy tak kuat lahh sayangg, mmy tak kuat bila tengok anak2 mmy sedih mcm ni. tpi mmy kne berlagak kuat tak nngis depan korang. bukan mmy tak sedih, sedih sangat. mmy mintak maaf sbb takdpt jdi mmy yg terbaik, mmy takboleh kawal emosi mmy, mmy mintak maaf kalau sikap mmy buat korang rasa yg mmy ni taksayang korang. mmy dh cuba jdi mmy yg terbaik, mental mmy tak kuat nk hadap semua bnde nii. mmy takboleh terlampau stress, otak mmy takdpt bertindak dengan waras. mmy mintak maaf, yang penting mmy tetap sayangg chaa n abg. iloveyou sayangg mummy ❤️♬ Winter Sonata (Piano) – Gaius Yeong