Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi pencarian bagi mengesan lokasi kereta yang terjunam ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi.
Jurucakap bomba berkata, maklumat awal yang diperolehi, kereta yang terjatuh itu jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.
Menurutnya, buku manual yang dijumpai dalam pencarian itu belum dipastikan sama ada ia milik kenderaan tersebut atau sebaliknya.
“Pada masa ini, bomba yang dibantu polis marin sedang mencari di sekitar Kilometer 4.0 dengan radius 50 kaki.
“Dan kesukaran yang dihadapi pada masa ini adalah arus deras,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi tadi, sebuah kereta terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang.
Kemalangan itu berlaku dari arah pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi tadi.
Menurut bomba, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20-an cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Maklumat dari orang awam mengatakan, ada sebuah kereta lain telah terjunam ke dalam laut dan usaha pencarian masih diteruskan sehingga kini.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Perai Azlan Hassan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.54 pagi memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dan sebuah daripadanya telah terhumban ke dalam laut.
Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Perai yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan pemandunya berusia 20-an mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan berkenaan.
“Sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kemalangan itu telah terjatuh ke dalam laut namun pihak kami masih belum dapat memastikan jenis kenderaan dan status mangsa di dalam kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.
Azlan berkata operasi mencari dan menyelamat kenderaan serta mangsa yang terjatuh ke dalam laut itu dijalankan oleh anggota bomba bersama dengan pasukan Polis Marin.
Sementara itu seorang pemancing di kawasan tiang bawah Jambatan Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Azrul, 30-an berkata semasa kejadian dia sedang memancing bersama dua rakannya sebelum ternampak sebuah kereta terhumban ke dalam laut lalu tenggelam.
Katanya, dia bersama dua rakan cuba mencari mangsa namun tidak menjumpai sesiapa.
“Waktu kereta itu terjatuh memang kami nampak tapi tak sempat perasan jenis kenderaan tersebut. Kami cuba cari mangsa dengan menyuluh guna lampu picit yang kami bawa namun tidak menjumpai sesiapa di tempat kereta terjatuh,”katanya.
Beliau berkata mereka memaklumkan kejadian itu kepada Polis Marin yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Tips Penting Memasang Dashcam
Kerap terjadi kes-kes seperti ini dimana pemandu tidak mengaku melanggar atau menuduh pemandu lain yang bersalah.
Paling ketara sekali ialah kes memandu secara melulu dan cuai seperti menukar laluan tanpa memberi signal.
Tetapi, sejauh mana keberkesanannya dari segi fungsi. Bukan apa, terdapat banyak produk yang sama dalam pasaran.
Sebagai contoh, buka sahaja Lazada akan buatkan anda pening kepala untuk memilih mana satu yang sesuai kerana terdapat ratusan pilihan.
Oleh itu, disini admin kongsikan serba sedikit fungsi-fungsi dan spesifikasi yang perlu ada untuk sebuah dashcam. Pendek kata, kamera yang mampu menjalankan tugas sebagai ‘saksi’ dengan cemerlang.
Resolusi Video
- Pastikan ia mempunyai resolusi minumum HD 720p kerana jika lebih rendah, anda akan mempunyai masalah untuk membaca nombor plat kereta, jenis kenderaan atau muka pemandu wanita yang comel itu.
- Dashcam dengan resolusi HD 1080p dan 2K memang ada tetapi fail video terlalu besar dan memakan memori.
Kapasiti simpanan memori
- Ini penting ketika anda hendak membeli kad microSD untuk dashcam anda.
- Contohnya, satu jam video HD 720p memerlukan ruang memori antara 1GB ke 2GB.
- Untuk satu jam video HD 1080p, anda perlukan 6GB ke atas.
- Jangan beli microSD dengan memori yang terlalu rendah. Paling minimum yang disyorkan ialah 64GB.
- Jika anda membeli produk yang terlalu murah, pastikan kad memori anda dari jenama yang boleh dipercayai. Jika tidak, kad memori murahan mempunyai kebarangkalian fail video anda rosak (corrupted file).
Sistem suis On/Off automatik
- Mempunyai fungsi suis on/off automatik.
- Ini bermakna bila kereta dimatikan enjin dankunci ditarik keluar, kamera akan ditutup.
- Bila enjin dihidupkan, kamera berfungsi kembali.
- Ada juga produk yang tidak mempunyai fungsi ini.
Saiz dashcam
- Tidap perlu besar kerana ia menghalang pemandangan anda sebagai pemandu.
- Dashcam terbaik perlu kecil dan boleh dipasang di kawasan yang tidak menggangu pemandu.
Pengesan hentakan (Impact Sensor)
- Fungsi ini bertindak apabila ada impak perlanggaran, kamera akan menyimpan rakaman video beberapa minit sebelum pelanggaran ke dalam fail yang berasingan.
- Ini memudahkan anda untuk memuat turun video yang berkaitan sahaja.
- Ia juga boleh dihidupkan secara automatik walaupun bila enjin dimatikan.
- Ini berguna bila kenderaan anda dilanggar bila anda tinggalkan ia di tepi jalan untuk membeli nasi bungkus dari pintu belakang kedai sewaktu ramadhan.
Mod “loop recording”
- Mempunyai fungsi Loop-Recording.
- Ia bermaksud bila kad memori sudah penuh, ia akan merakamkan video di atas video yang paling awal.
- Pusingan rakaman ini penting dan jika kad memori cukup besar, ia mampu menyimpan rakaman yang lebih rama sebelum dipadamkan.
Pengesan lokasi GPS
- Fungsi GPS ini bagi memberitahu anda lokasi kejadian.
- Selain dari itu, ia juga mampu merekodkan kelajuan kenderaan dan sesuai untuk para isteri bagi mengesan di mana suami anda pergi ‘main futsal’ malam tadi
Unit tambahan di belakang
- Produk yang mahal selalunya mempunyai fungsi kamera di belakang.
- Ini bermakna ia mampu merakam kejadian di belakang kereta.
- Fungsi ini bagus kerana jumlah kemalangan yang berlaku dari belakang juga tinggi.
Pemegang dashcam
- Kebanyakan dashcam akan datang dengan pemegangnya.
- Anda juga boleh membeli pemegang GoPro kerana ia melekat kuat pada cermin kenderaan.