Terdahulu, konsert minggu keempat program Gegar Vaganza musim ke-9 bertemakan ‘Aman Di Mata, Damai Di Hati’ ini telah menyaksikan Shila Amzah yang tidak berada dalam senarai lima terbaik dan hanya menerima markah sebanyak 74.60 peratus daripada juri selepas membawakan lagu Pudar oleh Indah Ruhaila.
Terbaharu, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah ini mendedahkan telah mengalami anxiety atau gangguan kebimbangan melampau selepas membuat pemeriksaan kesihatan bulan Mac lalu.
Memetik sumber, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Patah Seribu’ ini mengatakan masalah tersebut itu mengakibatkan persembahannya pada minggu keempat terjejas disebabkan serangan anxiety ketika berada di pentas.
“Malangnya minggu lepas saya kena serangan anxiety masa di atas pentas. Masa itu memang saya sudah tak ingat apa-apa, saya tak dengar apa pun yang Datuk Syafinaz komen. Masalah anxiety ini memang sudah lama selepas membuat pemeriksaan kesihatan pada Mac lalu…” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Shila memaklumkan antara penyebab yang mempengaruhi dirinya sehingga mendapat serangan secara tiba-tiba adalah kerana terlampau penat serta terkesan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan oleh netizen tentang dirinya di platform media sosial.
“Mungkin antara faktornya sebab saya penat, kadang-kadang nak cari komen positif terjumpa perkara negatif yang memberi kesan. Setakat ini, minggu ketiga dan keempat paling teruk. mungkin juga secara tak langsung benda itu menganggu emosi saya di pentas…” ujarnya lagi.
Walau bagaimanapun, juara The Masked Singer musim kedua ini menjelaskan setiap minggu dia hanya memberi tumpuan untuk memberikan persembahan yang terbaik dan menghiburkan peminat serta penonton.
“Apabila saya buat persembahan, kadang-kadang apa yang kita rangka itu tak menjadi seperti dirancang. Sejujurnya sebaik berada di pentas saya tidak sasar untuk jadi nombor satu tetapi ingin berikan yang terbaik dan menghiburkan penonton…”
“Ini termasuk apa kelainan yang boleh saya tonjolkan untuk minggu itu. Setiap persembahan itu kalau tidak banyak, sikit ada kelainan daripada minggu sebelumnya…” tambahnya.