Pelawak dan pelakon, Along Raja Lawak memilih untuk menghantar anaknya Ahmad Danial yang berusia tujuh tahun mendapat pendidikan agama di sebuah madrasah di Johor Bahru, lapor mStar.
Pemilik nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad ini berkata, dia mahu anaknya kuat untuk berdepan segala cabaran yang bakal ditempuhi pada masa hadapan.
“Saya mahu dia dapat ilmu seimbang dua dan akhirat sebagai bekalan besar nanti.
“Kita tahu dunia sekarang penuh cabaran terutama apabila ada media sosial. Saya mahu dia kuat bila berdepan dengan masalah.
“Dia pun semakin membesar dan saya pasti satu hari nanti dia akan tahu sejarah perpisahan saya dan ibunya yang ada di internet. Saya nak dia kuat bila tahu perkara itu” ujarnya.
Along ditemui pada majlis pelancaran filem pertama Mawi berjudul Tiada Tajuk di Sogo pada Jumaat.
Sementara itu, Along berkata, dia sudah memaafkan dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap bekas isterinya, Zila Seeron.
Katanya, dia sentiasa mengingatkan anaknya bahawa wanita itu adalah ibu kandung dan wajib untuk dihormati. Saya dah maafkan dia dan mulakan kehidupan baharu.
“Anak bawah jagaan saya tapi dia boleh datang bila-bila masa untuk tengok.
“Saya pun sentiasa cakap dekat Danial apa pun yang berlaku syurga di bawah kaki ibu” ujarnya.
Along pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 4 (AF4), Zila Seeron, 30 pada 23 Januari 2010.
Pada 13 Ogos 2016, isteri pelawak ini ditahan sepasukan pegawai penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas tuduhan khalwat.
Pasangan ini kemudian mengambil keputusan bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Danial.
“Apa yang berlaku dalam perkahwinan dengan bekas isteri adalah ujian buat saya. Saya terima segala-galanya dengan redha kerana yakin pasti ada hikmah daripada Allah SWT di sebaliknya. Kini, apa yang penting adalah kegembiraan dan kebahagiaan anak saya, Ahmad Danial,” katanya.
“Saya pun selalu ingat kata-kata kasih sayang Ahmad Danial yang akan rindu setiap kali kami berjauhan kerana saya harus ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja,” katanya. Along juga bakal muncul dengan drama terbaru lakonannya.
“Saya masih mahu muhasabah diri dan belum terfikir soal jodoh. Lagi pun anak saya, Ahmad Danial, 7 pun tidak bercakap apa-apa pasal mak baru,” kata Along.