Satu gambar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikongsi menerusi akaun Twitter pasukan komunikasi @teamsaddiq pada Ahad mengundang pelbagai komen netizen, lapor mStar.
Menerusi foto itu, Syed Saddiq bersandar di sisi sebuah kereta sambil mengisi minyak ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
Foto itu pantas menarik perhatian ramai memandangkan perbuatan menggunakan telefon bimbit berdekatan pam minyak adalah berbahaya dan dilarang sama sekali.
Posting yang dimuat naik pada Ahad.
Pada Isnin, laman Twitter rasmi Petronas, @Petronasbrands turut berkongsi semula posting berkenaan.
“Terima kasih singgah stesen PETRONAS! Walau bagaimanapun, keselamatan tetap diutamakan. Jangan guna telefon berdekatan pam minyak ya”
“Terima kasih juga kepada semua yang sangat prihatin,” tulis pengendali akaun itu.
Paparan skrin Tweet Petronas pada Isnin.
Rata-rata netizen turut meninggalkan komen mengenai risiko penggunaan telefon bimbit di stesen minyak.
“Mana boleh main telefon kat pam minyak, meletup nanti,” tulis seorang netizen.
Segelintir individu turut memuat naik foto papan tanda larangan penggunaan telefon menerusi ruangan balas Tweet berkenaan.
Untuk rekod, seorang wanita melecur 60 peratus di bahagian badan akibat disambar api berikutan tindakannya mengisi minyak dan cuba menjawab telefon bimbitnya.
Antara komen netizen di ruangan balas Tweet tersebut.
Menerusi satu laporan pada 1 Julai 2016, wanita itu dipercayai membuka pintu belakang sebelah kiri keretanya untuk mengambil telefon bimbitnya yang sedang berdering, sambil tangannya memegang muncung minyak petrol.
Dalam laporan sama, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Telekomunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Kamaludin Mohamad Yusof berkata insiden itu mungkin berpunca daripada gelombang Electro Magnetic Field (EMF) yang dihasilkan melalui hubungan dibuat melalui ‘signal’ telefon bimbit mangsa dan sistem pemancar atau pencawang telekomunikasi.
“EMF ini akan mencetuskan kebakaran kerana ia agak sensitif dengan minyak ketika mangsa menggunakan telefon bimbitnya semasa mengisi minyak,” katanya.