Seorang ibu seperti hilang kata-kata apabila anak perempuannya yang berusia 13 tahun melahirkan bayi di rumah mereka, di sebuah kampung di Kota Belud kelmarin.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, wanita berkenaan tersedar daripada tidur sebelum mendapati anaknya sedang membersihkan badan seorang bayi perempuan.
Terkejut dengan kejadian, wanita terbabit segera membawa remaja dan bayi itu ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sepatutnya.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dirogol oleh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang merupakan sepupunya.
“Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa dipercayai dirogol oleh sepupunya sebanyak tiga kali sejak Ogos tahun lalu.
“Suspek remaja lelaki terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, petang semalam (Isnin), untuk siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya lagi, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.