Soalan berbunyi “bila nak ada anak?” kepada pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu yang menyenangkan.
Bahkan, soalan berkenaan boleh mengguris hati terutama sekali bagi mereka yang masih menantikan zuriat sendiri untuk sekian lamanya.
Pertanyaan ini bukan saja sering diajukan kepada orang biasa, artis turut tak terkecuali. Antaranya Izzue Islam dan pasangannya Awin Nurin.
Seperti ramai sedia tahu, pelakon dan penyanyi dan pengacara, Izzue Islam telah hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga tanpa anak.
Bagaimanapun, dia akui sudah lali dengan pertanyaan tentang zuriat.
Kata Izzue menerusi laporan Utusan, dia tidak pernah terasa hati selagi pertanyaan tersebut bukan berbentuk sindiran.
“Ketika awal perkahwinan, saya memang rimas kalau orang asyik bertanya mengenai anak. Saya respons mengikut intonasi pertanyaan, apakah mereka betul-betul bertanya atau mahu menyindir.
“Daripada marah, lebih baik saya beredar. Kalau sekadar bersembang, saya jawab sahaja. Tiada masalah kerana saya dan isteri akur, belum rezeki untuk menimang cahaya mata,” katanya.
Selain itu, Izzue turut disoal mengenai pengambilan anak angkat, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini pernah mempertimbangkan perkara tersebut.
Pun begitu, dia akui bimbang tidak dapat menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik. Sususlan itu, dia dan isteri terpaksa menangguhkan hasrat itu.
“Saya pernah berbincang dengan Awin mengenai perkara ini. Namun, apabila difikirkan balik, saya jadi risau sebab takut anak terabai dan tidak mampu memberi kasih sayang sepenuhnya.
“Jadual kerja saya pula tidak menentu dan bimbang kalau dibawa ke hulu dan ke hilir, nanti jatuh sakit dan akan membebankan banyak pihak,” jelasnya.
Izzue juga menzahirkan rasa syukur kerana memiliki ahli keluarga yang memahami karier dan kehidupan peribadinya dan tidak mendesak agar segera memiliki cahaya mata.
“Ahli keluarga tidak pernah bertanya tentang pengambilan anak angkat. Lagipun, saya ada anak saudara yang ramai, jadi mereka tidak pernah bertanya perkara itu dan faham situasi kami,” katanya.
Secara jujur, Izzue menjelaskan bahawa dia tidak berasa kesunyian apabila rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan komitmen kerja.
“Kalau orang cakap, anak adalah punca bahagia, kami pula mempunyai pendapat sendiri. Kebahagiaan itu boleh kita cipta, meskipun tanpa kehadiran cahaya mata.
“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Cuma, sudah tentu ia akan menjadi lebih bermakna apabila dikurniakan anak.
“Ada juga yang memiliki ramai anak tetapi kehidupan porak-peranda, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelasnya lagi.