Kesilapan meletakkan tanda nama ketika dilahirkan 20 tahun lepas, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan Noratirah Husin ‘tertukar’ ibu bapa, meninggalkan kesan mendalam kepada wanita itu.
Menerusi laporan Bernama, ‘ayah’ yang membelanya selama ini, Husin Omar meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat sakit jantung pada November tahun lepas, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada September 2019 yang mengesahkan dia bukan anak kandung lelaki itu.
Bagi Noratirah, ujian yang terpaksa ditanggung oleh ‘ayahnya’ itu amat berat dan kesedihan yang dialami bertimpa-timpa kerana ia terjadi tidak sampai dua tahun selepas pemergian ‘ibunya’ Rahmah Isa, yang meninggal dunia pada 2018 akibat kencing manis serta dua lagi saudaranya dalam tempoh itu.
“Saya sudah boleh menduga keputusan DNA itu kerana Adryani Iwani mempunyai banyak persamaan dengan saya. Sebaik ayah mengetahui tentang perkara itu, arwah mula berubah dan lebih banyak berdiam diri serta sering kali termenung.
“Pada sekitar September tahun lepas ketika di rumah, saya menerima panggilan telefon daripada mama (ibu kandung Siti Aminah Ismail) yang memaklum hal keputusan ini (DNA), jadi saya buka pembesar suara telefon supaya adik-beradik lain dan arwah ayah (Husin) pun dapat dengar apa yang mama ingin sampaikan,” katanya kepada Bernama.
Katanya, selepas dimaklumkan keputusan itu, arwah ayah terus menangis dan secara tiba-tiba dia mengadu sakit dada sambil menzahirkan rasa bimbang hendak melepaskannya memandangkan dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik yang tidak pernah berpisah dengan keluarga.
Noratirah berkata arwah ayahnya turut meluahkan perasaan terkilan kerana dia tidak dapat berjumpa dengan bapa kandungnya Ibeni Yanin Mohd Salleh yang telah meninggal dunia lebih awal (2009) dan begitu juga dengan Adryana Iwani yang tidak dapat berjumpa dengan ibu kandungnya Rahmah Isa (meninggal dunia 2018).
Noratirah yang sedang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Kota Bharu berkata, beliau kini tinggal bersama ibu kandungnya selepas ‘ayahnya’ (Husin) meninggal dunia ditambah lagi adik-beradik lain sudah berkeluarga.
“Walaupun saya telah tinggal dengan mama, tapi kami adik-beradik sebelah ayah (Husin) tetap berhubung, kalau ada masa hujung minggu akan berkumpul di rumah ayah, tapi disebabkan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kini, kami bertanya khabar antara satu sama lain melalui telefon sahaja,” katanya.
Adryani Iwani Ibeni Yanin pula menceritakan ibunya, Siti Aminah terduduk dan hanya mampu menangis apabila mengetahui bahawa Adryana Iwani tertukar dan bukan anak kandungnya.
Menurut Adryani Iwani, sebaik ibunya menerima keputusan DNA berhubung kedudukan ‘kembarnya’ itu pada September, perasaan ibunya tidak tenteram kerana bimbang perkara itu akan mengganggu psikologi ‘anaknya’ itu.
“Selepas terima keputusan, mama terkejut dan panggil saya berjumpa di bilik untuk mengelakkan Ana (panggilan untuk Adryana Iwani) tahu. Mama bagi tau, betullah Ana bukan anak mama dalam keadaan menangis. Beliau enggan percaya dengan perkara itu kerana terlalu menyayanginya.
“Ketika itu, saya hanya mampu memujuk mama kerana risau Ana mendengarnya dan mama meminta saya supaya merahsiakan perkara itu daripadanya kerana tidak mahu dia berkecil hati,” katanya.
Sementara itu, Adryana Iwani yang tertukar dalam kejadian itu menzahirkan perasaan sedih kerana hanya sempat mengenali ayah kandungnya (Husin) itu kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.
“Sudah pasti saya sedih, tahu-tahu kita ada keluarga lain selepas 19 tahun terpisah, lagi sedih saya tak pernah jumpa dan mendapat kebahagian daripada ibu kandung sendiri. Disebabkan salah orang lain, kami yang menanggung derita,” luahnya yang mengakui gred purata nilai kumulatif (CGPA) pengajiannya turut terjejas akibat kejadian itu.
Ditanya bagaimana dia berdepan situasi getir itu, mahasiswa Pentadbiran Korporat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan itu berkata dia tidak mahu melihat ‘ibunya’ susah hati mengenangkan dirinya sekiranya melihat dia asyik menangis memikir perkara yang telah terjadi.
Mengenai perkenalan dengan arwah ayahnya dalam masa yang singkat, Adryana Iwani berkata dia sendiri dapat merasai ‘aura’ bapa kandungnya selepas kali pertama berjumpa.
“Pada kali pertama berjumpa, perasaan saya itu bercampur baur, seronok pun ada dapat jumpa ayah kandung, tapi sedih pun ada sebab takut dia tidak boleh terima baik buruk saya kerana selama ini Noratirah antara anak kesayangannya.
“Tapi saya bersyukur kerana adik-beradik lain layan saya macam adik sendiri dan keluarga pun semakin bertambah besar,” katanya yang sempat menerima cincin daripada ayahnya dan meninggalkan pesan untuk terus hormat kepada keluarga yang membesarkannya terutama ‘ibunya’, Siti Aminah.