Tempoh bekerja yang panjang dan bebanan kerja mendorong kepada punca masalah mental seseorang individu. Hal ini membuktikan bahawa masih ada kegagalan dalam mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan (worklife balance).
Oleh hal demikian, pihak yang bertanggungjawab telah pun mencadangkan dan bakal melaksanakan pengurangan waktu bekerja dari 48 jam ke 45 jam dalam seminggu.
Memetik laporan Berita RTM, pelaksanaan tempoh bekerja tersebut akan dilakukan menerusi Pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan di Parlimen pada 29 Mac 2022 akan dikuatkuasakan pada 1 September 2022.
Menurut kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyatakan bahawa pindaan yang akan dikuatkuasakan itu selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi meningkatkan produktiviti buruh dan memastikan kebajikan pekerja serta keluarga terjaga.
Difahamkan, pindaan yang dibuat menggariskan waktu bekerja bakal menjadi lebih pendek (48 jam hingga 45 jam) dan fleksibiliti dalam pengaturan kerja.
“Akta ini juga memperkenalkan seksyen baharu mengenai aturan kerja fleksibel untuk membolehkan pekerja memohon kepada majikan untuk melaksanakan pekerjaan mengikut kesesuaian waktu kerja, hari bekerja atau tempat kerja termasuk bekerja dari rumah bagi situasi-situasi mendesak seperti pandemik COVID-19.
“Dengan pindaan ini, majikan boleh membuat aturan jumlah hari bekerja mengikut kesesuaian operasi syarikat masing-masing dengan memastikan jumlah waktu yang ditetapkan.
“Fleksibiliti ini akan membolehkan pekerja memohon kepada majikan mereka untuk menjalankan tugas kerja mereka mengikut kesesuaian mereka (waktu bekerja, kecemasan COVID-19 dan tempat kerja),” jelas beliau berhubung isu ini.
Dalam hal yang sama, Senator Md Nasir telah membangkitkan soalan mengenai pendirian menteri terhadap pelaksanaan jadual 4 hari waktu bekerja khususnya bagi sektor swasta.
“Setakat ini, tidak ada cadangan atau perbincangan berhubung pelaksanaan Jadual kerja 4 hari di peringkat kementerian.” jawab Datuk Awang Hashim.
Sekadar info, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mewujudkan sebuah pasukan khas untuk mengkaji waktu bekerja selama 4 hari dalam seminggu.
Isu 4 hari waktu bekerja ini mula menarik minat orang awam apabila awal bulan Julai lalu terdapat 70 syarikat membabitkan 3,000 pekerja di United Kingdom melaksanakan sistem bekerja 4 hari seminggu tetapi masih menerima gaji penuh untuk sebulan.