Mayat mangsa terakhir dalam kejadian tiga beradik lemas di Sungai Terengganu di Kampung Kuala Telemong, pada Khamis disahkan telah ditemui oleh Pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan mangsa kedua pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Terdahulu, mangsa pertama Umar Iskandar Mohd, 21, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi semua mereka dilaporkan hilang pada petang Rabu.
Kurang dua jam selepas itu, mayat Khairil Firdaus Mohd, 17, pula ditemui tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, lokasi semua mangsa dikesan oleh anjing pengesan sebelum unit skuba membuat selaman.
“Dalam operasi SAR malam tadi, kita hanya membuat pencarian di permukaan dan tidak menemui apa-apa petanda dan terpaksa menghentikan operasi jam 12 tengah malam.
“Operasi yang disambung semula pagi ini turut disertai pasukan anjing pengesan (K9) dari Kuala Lumpur.
“Dua ekor anjing pengesan terbabit berjaya mengesan lokasi mayat ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam sungai itu sebelum pasukan penyelam membuat pencarian di dasar,” katanya di sini pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan tiga beradik itu lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka, pada sekitar jam 6 petang.
Ketiga-tiga mangsa dikatakan berkunjung ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka kira-kira jam 6 petang Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Umar Iskandar Mohd, 21 tahun, Khairil Firdaus, 17 tahun, dan seorang lagi adik mereka Khalif Naim, 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, insiden itu disedari empat pemancing yang berada di seberang sungai selepas mendengar suara meminta tolong.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kesemua mangsa telah hilang sebelum pemancing itu memaklumkan kepada penduduk kampung.
“Kejadian ini mula disedari pada jam 6 30 petang tadi di mana empat orang pemancing yang sedang memancing di seberang sungai di tempat kejadian telah nampak tiga orang remaja sedang mandi-manda di sungai ini.
“Tidak lama kemudian, pemancing tersebut mendengar jeritan suara meminta tolong daripada salah seorang mangsa yang berada di sungai ini dan kumpulan pemancing tadi telah menaiki motosikal menaiki jambatan dan terus ke lokasi ini. Dalam 10 minit mereka sampai, didapati ketiga-tiga mangsa telah hilang,” ujar Mohd Adli.
Tambahnya, seramai 41 kekuatan anggota melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi pencarian sejurus menerima maklumat.
Jelasnya, operasi pada Rabu malam melibatkan pencarian di permukaan serta di sekitar tebing sungai.
Menurut Mohd Adli hasil pengecaman oleh bapa mangsa telah mengesahkan beberapa barang yang ditemui termasuk pakaian, selipar dan telefon, adalah milik anaknya.