Jalan raya adalah untuk kegunaan bersama. Sebagai pengguna jalan raya kita mestilah bertanggungjawab dan saling bertolak ansur antara satu sama lain.
Apabila berlaku sesuatu insiden yang mana pemilik kereta melanggar kereta pemilik yang lain tanpa sengaja, pasti mereka akan cuba menyelesaikan dengan cara yang baik.
Tinggalkan sekeping nota selepas kemalangan berlaku
Menerusi perkongsian di Facebook Tong Yee, lelaki ini berkongsi kisah mengenai seorang pemandu yang sangat bertanggungjawab kerana meninggalkan sekeping nota di keretanya selepas kemalangan tersebut berlaku.
Menurut Tong Yee, selepas pulang dari sarapan pagi semalam, dia ternampak sekeping nota kecil di cermin hadapan keretanya.
Jelasnya, dia sedar bahawa seseorang telah melanggar keretanya dan meninggalkan nota tersebut. Oleh kerana terlalu sibuk, dia bertindak menghubungi pemandu tersebut hari ini.
Jujur mengaku kesalahan yang dilakukan
Jelasnya lagi, dia berasa sangat gembira dan bersyukur apabila dapat bersembang dengan pemandu tersebut yang dikenali sebagai Shamsul.
Tong Yee memberitahu bahawa lelaki itu seorang yang bertanggungjawab dan berterus terang. Ini kerana, dia mengaku tentang kesalahan yang dilakukan serta jujur mengenai pendapatannya.
Susulan daripada itu, Tong Yee telah memberi ruang dan masa buat Shamsul untuk membayar kos pembaikian tersebut. Di samping itu, dia turut mengajak Shamsul untuk makan malam.
Hasil didikan dari bapanya sejak kecil
Terbaru, Tong Yee telah memuat naik beberapa foto bersama Shamsul ketika mereka berjumpa antara satu sama lain.
Ujarnya, Shamsul merupakan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura. Tambahnya, Shamsul seorang anak yang baik kerana sentiasa mengikut didikan bapanya.
Tingkah lakunya yang meninggalkan nota itu juga merupakan hasil didikan bapanya sejak kecil.
Kisah Sahmsul pengajaran kepada semua
Tong Yee turut memberitahu kisahnya bersama Shamsul ini mampu dijadikan pengajaran buat semua.
Sebagai manusia, sikap bertanggungjawab dan berterus terang perlu ada dalam diri meskipun apa jua situasi.
Semoga kisah ini menjadi contoh dan teladan kepada kita semua. Diharap kita semua menjadi pengguna yang bertanggungjawab di atas jalan raya.