Meluangkan masa bersama-sama keluarga merupakan suatu perkara yang bagus diamalkan bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Walau bagaimanapun, bayi ialah suatu makhluk yang sensitif dan bukan seperti manusia dewasa yang lain.
Apakan daya nasi sudah pun menjadi bubur.
Berdasarkan laporan Coconuts, bayi berusia 6 bulan meninggal dunia dipercayai selepas dibawa menaiki motosikal dari Jawa Tengah ke Jawa Timur untuk menonton perlawanan bola sepak.
Difahamkan, insiden berkenaan disahkan oleh bapa bayi tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai FJ.
Insiden ini telah disahkan oleh ibu bapa bayi tersebut sendiri selepas kisah ini tular di laman Twitter 3 Ogos yang lalu.
Menurut kenyataan FJ, dia dan isterinya membawa bayi mereka menaiki motosikal pada 30 Julai yang lalu dari Tegal, Jawa Tengah pada 5:38 petang.
Akhirnya mereka sekeluarga sampai di Surabaya, Jawa Timur jam 7.15 pagi keesokan harinya.
Perjalanan mereka sejauh 500 kilometer (km) mengambil masa lebih kurang 15 jam untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju dengan harapan dapat menonton perlawanan bola sepak kegemarannya bersama-sama ahli keluarga.
Sesampainya mereka di rumah, bayi tersebut mula batuk dan sukar untuk bernafas sebelum dibawa ke hospital.
Namun begitu, bayi yang berusia 6 bulan itu tidak mampu bertahan dan meninggal dunia di hospital meskipun pihak hospital sudah cuba sedaya upaya mereka untuk menyelamatkannya.
Ekoran kejadian ini, bapa bayi berkenaan berharap agar kisah yang telah dikongsikan ini mampu dijadikan pengajaran buat ibu bapa lain di luar sana.
“Ini semua disebabkan kebodohan saya yang dibaluti dengan ego serta keangkuhan dengan membawa bayi saya yang masih berusia enam bulan dari Tegal ke Surabaya semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak.
“Biarlah saya seorang saja yang bersikap seperti ini,” tulis FJ mengenai nasib anaknya itu.
Sehingga ke hari ini, punca bayi tersebut masih belum didedahkan.
Dr Kurniawan Satria Denta, seorang pakar pediatrik menasihatkan para ibu bapa agar tidak membawa bayi mereka menaiki motosikal kerana bayi tidak boleh menyesuaikan diri dengan suhu yang terlampau sejuk.
“Antara risikonya adalah hipotermia. Bayi kecil tak boleh terlampau sejuk. Bayi yang mengalami hipotermia berisiko tinggi untuk mengalami masalah pernafasan dan metabolik serta berisiko tingga untuk tidak sedarkan diri.” kata Dr. Kurniawan.